Masyarakat India Tidak Dipinggir, Berpeluang Jadi Ketua Kampung


BAGAN SERAI – Masyarakat India di sini diminta supaya berhati-hati dengan janji manis pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan atas nama rakyat walhal ia sebenarnya memfokuskan kepada kepentingan peribadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata, kerajaan yang selama ini membantu rakyat pula diburuk-burukkan bagi mengaburi mata masyarakat.

“Masyarakat India di kawasan Parlimen Bagan Serai ini tidak pernah dipinggirkan, malah diberi keutamaan bersama-sama kaum Melayu dan Cina di sini.

“Dari semasa ke semasa, wakil Barisan Nasional sama ada dari UMNO, MIC atau Makkal Sakti sentiasa turun padang melawat masyarakat India di sini bagi meninjau sebarang permasalahan yang dihadapi mereka terutama­nya di kawasan pedalaman dan estet-estet.

“Ramai juga dalam kalangan golongan kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan keluarga miskin menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajian Masyarakat (JKM) Kerian.

“Melalui Pejabat ADUN Alor Pongsu pula, kita turut mengedarkan bantuan kotak makanan daripada Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) selain membantu dari segi baik pulih kediaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan Deepavali yang diadakan di Pejabat ADUN Alor Pongsu di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Sham berharap dapat terus menjalinkan kerjasama dengan ketua-ketua masyarakat India di sini dari semasa ke semasa.

Apatah lagi katanya, kerajaan sedia ada yang mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat, tidak bersikap memilih kasih sejajar dengan aspirasi 1Malaysia.

“Pada tahun lalu, kita memberi peluang kepada masyarakat India untuk dilantik sebagai ketua kampung.

“Cadangan Barisan Nasional (BN) Bagan Serai itu telah diterima oleh kerajaan negeri dan kini Ketua Kampung Soon Lee terdiri daripada wakil masyarakat India. Beliau telah berkhidmat dengan baik,” katanya.

Sumber: Utusan Online