ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengajak rakyat Kedah mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan, sekaligus mengubah status Kedah selaku juara penyakit kencing manis dan darah tinggi dalam negara ini.
Katanya, semua golongan masyarakat harus memupuk budaya bersukan dan beriadah bukan sahaja untuk bebas penyakit, malah untuk kekal cergas dan sihat.
"Saya mahu ajak semua rakyat Kedah menjadikan sambutan Hari Sukan Negara sebagai langkah untuk ubah status itu, biarlah kita bergelar juara dalam bidang lain yang bermanfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 8,000 peserta dan hadirin pada sambutan Hari Sukan Negara, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mergong, pagi semalam.
Hari Sukan Negara di negeri ini menyasarkan penyertaan 140,000 orang, yang turut diadakan serentak di peringkat daerah dan sekolah.
Ahmad Bashah berkata, berdasarkan kajian Kementerian Kesihatan 2015, menunjukkan 25.4 peratus atau satu daripada empat rakyat Kedah berumur 18 tahun ke atas menghidap kencing manis, manakala hampir 40 peratus rakyat Kedah atau dua daripada lima orang mengalami masalah darah tinggi.
“Bila bersukan dapat elak penyakit, selain menjadi alat penyatuan bangsa, seterusnya membentuk kerjasama erat dalam pasukan untuk mencapai kejayaan.
"Kita galakkan rakyat bersukan dan jadikan ia budaya hidup kerana ia penting dalam mewujudkan masyarakat cergas, sihat dan produktif,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak pernah melupakan pengorbanan atlet OKU dengan memberi ganjaran melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam).
“Kita iktiraf pencapaian atlet anak Kedah tanpa membezakan sama ada mereka atlet normal atau OKU.
"Pengorbanan mereka berlatih, berusaha penuh disiplin dan gigih mengejar gelaran juara dihargai, terutama yang menghadiahkan pingat emas buat negara di Temasya Sukan Paralimpik Rio 2016,” katanya.
Ahmad Bashah berkata, kehebatan atlet Kedah seperti dibuktikan Mohd Ziyad Zolkefli, Mohd Ridzuan Puzi dan Abdul Latif Romly wajar diberikan penghargaan kerana cemerlang di peringkat dunia.
“Saya harap selain bersukan, kita dapat meningkatkan pengetahuan dalam sukan untuk lebih memahami fungsi sukan dari pelbagai aspek, antaranya menjadi landasan dalam memberi pengiktirafan dan anugerah kepada pihak yang terlibat dalam aktiviti pembangunan sukan,” katanya.
Sementara itu Exco Belia dan Sukan, Datuk Aminuddin Omar berkata, sambutan tetap meriah walaupun penganjuran aktiviti sukan menggunakan prinsip 3M (Menarik, Mudah, Murah).
“Dua tahun lepas kita diberi peruntukan besar oleh Kementerian untuk aktiviti sukan semua peringkat, berbanding kali ini, kita berbekalkan semangat kesukanan tinggi untuk menjayakan program seumpama,” katanya.
Menurutnya, semua atlet Kedah yang membawa pulang pingat emas, perak dan gangsa layak diberikan insentif.
“Semua atlet termasuk paralimpik diberikan insentif, mereka yang belum menerima ganjaran masing-masing akan diberikan dalam majlis yang akan diadakan pada 17 Oktober ini,” katanya.
Hari Sukan Negara peringkat negeri Kedah turut dimeriahkan dengan acara senamrobik perdana, Larian Fun Run 10,000 langkah, Fun Walk sejauh 4.5 kilometer, aerobathon, eco challenge, demo wajadiri, sepak raga tuju, bola jaring, lompat tali, free styler show serta sukan intergrasi OKU.
Sumber: Sinar Harian