ALOR SETAR - Kebanyakan pengguna jalan raya yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu atau menunggang motosikal mengalami masalah kemurungan selain diklasifikasikan sebagai taksub dengan teknologi.
Menurut Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd. Sa’ad, individu berikut berkemungkinan mengalami masalah atau tekanan sama ada di tempat kerja, rumah mahupun persekitaran di samping perasaan resah yang melampau.
Tambah beliau, tindakan golongan berkenaan juga dapat dikaitkan dengan tingkah laku serta personaliti kompulsif dan obsesif iaitu individu yang mengalami kecelaruan.
“Pelaku berkemungkinan mengalami kemurungan secara psikologi. Kebiasaannya, mereka beranggapan bahawa penggunaan telefon bimbit atau sebarang gajet semasa memandu merupakan strategi untuk mengatasi masalah yang dihadapi.
“Oleh itu, mereka cenderung untuk sentiasa kekal dalam talian sehingga tidak menyedari perbuatan itu berbahaya kepada diri sendiri mahu pun pengguna jalan raya yang lain,” katanya seperti yang dipetik dari Utusan Online.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu penggunaan telefon bimbit semasa memandu berikutan laporan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Rosli Isa hari ini yang menyatakan tabiat negatif itu mampu meningkatkan enam kali risiko kemalangan maut.
Ujar Fauziah, bagi mengelak tabiat negatif itu terus menular dalam kalangan masyarakat, golongan tersebut perlu berusaha mengeluarkan diri mereka daripada dibelenggu kemurungan dengan menyimpan telefon bimbit dan gajet di dalam beg atau di tempat yang sukar dicapai ketika memandu.
Katanya, amalan senaman yang lebih santai juga dapat membantu individu berkenaan ‘menjauhi’ telefon bimbit pada masa tertentu. - Kedahnews.com