Mengapa Dr. Kamarul Zaman Sifatkan Mufti Perlis "Angkuh"?


MUFTI  Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin disifatkan sebagai 'angkuh' kerana hanya mahu berdialog dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sahaja mengenai cadangan pindaan Akta 355.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata Mohd Asri memberitahu beliau akan berdialog mengenai isu itu dengan Presiden PAS sahaja walaupun Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali mencabar sesiapa sahaja.

Disebabkan cabaran itu terbuka ia telah disambut oleh Dr Rozaimi Ramle maka Khairuddin kena setuju, kata Dr Kamarul Zaman dalam kenyataannya yang disiarkan di Harakah Daily semalam.

"Bagaimanapun saya berterima kasih kepada Mohd Asri  kerana mengulas kenyataan saya yang membuat cadangan untuk menganjurkan dialog di antara beliau dan Dr Khairuddin," kata Dr Kamarul Zaman.

Namun begitu kata Dr Kamarul Zaman, jawapan yang diberikan oleh Mufti Perlis itu  tidak menggambarkan akhlak seorang Islam, apa lagi akhlak seorang yang bertaraf mufti.

"Ia dipenuhi oleh nada kesombongan, keangkuhan dan kemegahan dengan ilmu dimiliki. Tidak hairanlah mengapa undangan saya kepada beliau sejak 15 Februari lalu tidak terjawab," kata Dr. Kamarul Zaman.

Menurut beliau, jemputan kepada Mohd Asri dan Khairuddin hanyalah jemputan biasa Institut Kajian Politik Malaysia UUM kepada tokoh-tokoh negara untuk membicarakan sesuatu topik yang menjadi isu semasa negara sahaja.

"Sejak menjadi Pengarah MAPAN, belum ada lagi tokoh yang langsung tidak menjawab undangan kepada mereka melainkan tokoh yang bergelar Mufti Perlis ini.

 Paling tidak, mereka masih ada budi bahasa, walaupun tidak kenal secara peribadi, untuk memaklumkan tidak dapat memenuhi undangan," katanya lagi.

Ujar Dr. Kamarul Zaman, tindak-tanduk Mohd Asri di dalam isu ini mengingatkan beliau kepada kenyataan pendakwah bebas, Azhar Idrus, di Himpunan RUU 355 di Padang Merbok 18 Februari lalu bahawa sebab pindaan ini ditolak oleh agamawan tertentu adalah kerana beranggapan 'mereka lebih hebat berbanding orang lain.'

Beliau turut  mempersolkan di manakah hebatnya Mohd Asri sehingga beliau boleh berbeza pandangan dengan mufti-mufti lain di dalam isu ini? 

"Tatkala mufti-mufti lain mempunyai pandangan selari dengan Khairuddin bahawa pindaan Akta 355 ini wajib disokong, beliau seorang mempersoalkannya," kata Dr. Kamarul Zaman.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Albakri, mula-mula menyebut ia wajib disokong pada 2 September 2016 diikuti Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, pada 26 September 2016, di samping Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, pada 13 Oktober 2016.

Selepas Himpunan RUU 355 berlangsung, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, dan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, juga direkod menyebut pada 19 Februari sesiapa yang menentangnya adalah berdosa dan tiada sebab untuk orang Islam tidak menyokongnya.

"Jika benar Mohd Asri ikhlas dan bukan sekadar mahu mencari populariti melalui isu ini, beliau sepatutnya berjumpa secara senyap-senyap dengan kesemua mufti yang jauh lebih senior berbanding dengan beliau untuk bertanya mengapa mereka berpandangan tidak sama dengan beliau dalam isu ini," katanya.

Menurutnya, jika benar Mohd Asri ikhlas dan bukan sekadar mahu mencari populariti melalui isu ini, beliau juga sepatutnya menyambut pelawaan berdialog dengan sesiapa sahaja, termasuk dengan Khairuddin dan bukannya memilih tokoh lebih besar yang lebih berpotensi untuk melonjakkan popularitinya.

Kata Dr. Kamarul Zaman, bukan setakat dengan PAS, tetapi dengan UMNO juga tokoh ini menghadapi masalah. Beliau pernah dicabar supaya meletakkan jawatan sebagai mufti dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 oleh Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakob, pada 28 Ogos 2016 -  Kedahnews.com.