Menghapuskan "Orang Tengah" Dalam Perniagaan?

 
"Orang tengah" ini bahasa kampung. Bahasa niaga ialah pemborong. Pemborong menjadi pihak yang mendapatkan bekalan dari pihak pengeluar dan menjual kepada pihak peniaga.

Peniaga tiada kemampuan untuk mendapatkan barang jualan dari sumber asal kerana kekangan masa, kewangan dan keperluan.

Misalnya anda berniaga jagung satu hari 8 kilo di Kuala Lumpur, anda tidak akan dapat bekalan 30 kilo sekali beli dari ladang jagung di Kedah atau Thailand.

Anda boleh pandu kereta ke gurun Kedah untuk beli dari penjual tepi jalan. Tapi apakah akan lebih murah bila campur kos perjalanan anda?

Peladang jagung tidak mahu menjual runcit. Mereka mahu jual berpuluh tan sekali transaksi. Walaupun mereka boleh jual lebih mahal secara langsung tapi ia membabitkan risiko lain dan menggangu tumpuan mereka sebagai pengeluar.

Jadi dalam banyak perkara jika tidak ada pemborong, peniaga kecil tadi tidak boleh berniaga jagung.

Pemborong pula perlu mengeluarkan modal besar kerana perlu beli tunai, sediakan tempat simpanan, kos pengangkutan dan menghadapi risiko barangan tidak laku.

Apabila tiba musim tiada jagung, pemborong akan naikkan harga jagung. Bukan sahaja kerana konsep bekalan dan permintaan, tetapi juga kos mereka menyimpan jagung selama beberapa bulan berbanding ambil dari ladang terus jual.

Semua ini dan keuntungan akan dimasukkan dalam kos tolak kepada peruncit. Jika anda ukur kos jualan ladang dengan harga jualan runcit sahaja ia tidak munasabah sama sekali.

Jadi jika anda mahu hapuskan "orang tengah" macam mana barang hendak sampai kepada peruncit kecil?

Orang tengah dalam perniagaan tidak sama dengan orang tengah politik yang ditangkap SPRM. Mereka makan "atas angin".

Sebenarnya dalam menurunkan harga barang sebahagian besarnya bergantung kepada kuasa dan kebijakan pengguna.

Malangnya pengguna di Malaysia sanggup mati kerana makan. Lalu jadilah seperti Durian Musang King sekilo RM 117 pun habis licin.

Oleh: Ab Jalil Backer/Kedahnews.com