Merungkai Kembali Sejarah Lembah Bujang Yang Anda Tidak Tahu


Lembah Bujang, kawasan seluas 144 kilometer persegi merupakan bukti agung keberadaan tamadun yang pernah mencapai kegemilangannya. Ia mencapai tahap tertinggi dalam eranya seawal kurun 1 hingga kurun 12.

Lembah ini sepanjang sejarahnya pernah dikuasai oleh tiga kuasa besar kerajaan maritim iaitu Funan, Srivijaya dan Majapahit. Kawasan ini didakwa  termasuk dalam kawasan Langkasuka, kerajaan yang wujud seawal kurun kedua.


Lokasi yang strategik menjadi penghubung kepada pedagang dari sebelah timur dan barat seperti China, Arab dan India. Keadaan muka bumi sekitar lembah bujang juga terlindung daripada bencana semula jadi dan lanun menyebabkan ia menjadi pilihan para pedagang untuk berkampung.

Sejarah Lembah Bujang merangkumi kisah yang amat panjang dan menarik. Ramai saintis Barat yang mengemukakan kaitan kawasan ini dengan tamadun-tamadun agung dahulu namun bagi mendapatkan lebih maklumat dan dapatan, penyelidikan dan pencarigalian (ekskavasi) perlu lebih giat dijalankan.

Penemuan yang terbaru telah menunjukkan kawasan di Lembah Bujang bukan hanya merangkumi kawasan seluas 400 kilometer persegi malah hingga 1,000 kilometer persegi termasuk kawasan sekitar Gunung Jerai.


Rencam pada minggu ini akan membicarakn tentang elemen-elemen penting Lembah Bujang yang menyumbang kepada kegemilangan kawasan ini suatu masa dahulu.

Asal usul

Kemakmuran  Lembah Bujang telah menjadikannya sebagai satu titik pertemuan bagi pedagang dari seluruh Nusantara. Suasana inilah yang menjadi ilham kepada pedagang dan penduduk setempat menggelarkan "Bujang" atau "Bhujangga" dalam bahasa Sanskrit yang membawa maksud kemakmuran.

Kedudukan Lembah Bujang yang berdekatan dengan laut, berhadapan dengan Teluk Bengal dan pintu Selat Melaka telah menjadikan ia laluan perdagangan yang cukup terkenal dan strategik. Penemuan kaca seramik, ukiran dan binaan didakwa dari abad kelima hingga abad ke-14 menjadi bukti kawasan ini pernah menjadi tumpuan pedagang dari beberapa benua. 


Lembah Bujang menyaksikan kemuncak kegemilangannya ketika era kurun keempat hingga kurun ke-11. Ia muncul menjadi pusat perdagangan terpenting antara Laut Mediterranean dengan China. Para pedagang dari China mengenali kawasan ini dengan nama "Chieh Cha" dan "Yeh-po-ti".  Manakala pedagang dari India memanggil Lembah Bujang sebagai "Kataha", "Kidaram" dan "Kalagam".

Lembah Bujang dalam catatan Barat digelar sebagai “Quedah”, “Quedaram”, “Kheddah”, “Gedda” dan sebagainya.

Antara ciri penting kawasan ini adalah lokasinya yang berdekatan dengan Gunung Jerai, kawasan tinggi di barat Semenanjung Tanah Melayu menjadi pedoman atau petunjuk kepada pedagang yang berlayar melalui Selat Melaka.

Menurut saintis, penduduk asal kawasan ini terdiri daripada masyarakat pribumi dan Orang Asli. Mereka mengamalkan sistem ekonomi sara diri bergantung kepada hasil pertanian dan hasil hutan. Keadaan persekitaran yang di kelilingi tanah pamah yang subur membekalkan sumber makanan yang stabil kepada penduduk kawasan ini.

Masyarakat Asli ini menganuti fahaman animisme dan mudah menerima nilai-nilai baru yang dibawa oleh pedagang. Ini memudahkan para pedagang yang membawa bersama mubaligh-mubaligh bagi mengembangkan ajaran agama masing-masing, sebagai contoh pedagang India telah berjaya mengembangkan agama Hindu dan Buddha serta Islam pada abad kelima di Lembah Bujang.

Kawasan Lembah Bujang seterusnya berkembang menjadi pusat penyebaran agama Hindu dan Buddha yang terkenal kerana sikap terbuka penduduknya malah tiada langsung penentangan daripada masyarakat tempatan.

Perdagangan tercetus apabila pedagang memerlukan hasil tani dan hasil hutan seperti rotan dan madu, pada masa yang sama, penduduk tempatan memerlukan barangan seperti kain, rempah, pinggan mangkuk, tembikar dan barang pertukangan untuk keperluan harian.

Hubungan dengan tamadun

Kajian demi kajian dijalankan bagi mencari bukti saintifik yang boleh mengaitkan Lembah Bujang dengan beberapa tamadun agung dunia. Hubungan antara lembah ini dengan tamadun-tamadun yang lebih tua seperti Tamadun Sumeria, Indus dan China purba masih kabur. Namun ada teori yang menghubungkaitkan penemuan di Sungai Batu Pahat dengan tamadun yang lain.


Sejarawan antarabangsa telah melakukan pemerhatian di tapak ekskavasi di Lembah Bujang yang berusia 2,000 tahun dan mendakwa binaan di sekitar kawasan ini merupakan binaan  tertua dicatatkan di Asia tenggara. Ini merupakan dapatan yang sangat penting di kawasan ini dalam dekad terbaru ini.

Tamadun yang wujud di Lembah Bujang digambarkan telah berada lebih lama dari empayar seperti Sri Vijaya yang bermula sekitar kurun ketujuh dan Kerajaan Majapahit yang berkuasa sekitar kurun ke-11.

Bagaimanapun penemuan binaan berusia 1,900 tahun, secara saintifik bertarikh pada tahun 110 telah mengejutkan dunia arkaelogi. Binaan tersebut ditempatkan bersemuka dengan Gunung Jerai, dipercayai digunakan untuk tujuan ritual.

Binaan tersebut dijumpai di kelilingi kesan tinggalan tempat peleburan besi yang lengkap dengan ketuhar bersama dengan jeti konkrit yang dibina sepanjang tebing sungai.

Pakar dari Universiti Oxford mendakwa penemuan itu sebagai tapak bangunan terawal yang mempunyai peranan penting sebagai tapak industri dan perdagangan.  Penemuan ini telah mencetuskan lebih banyak teori di mana pada ketika itu penduduk telah mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang peleburan besi, pasti sebelum itu lagi mereka mempunyai pertukaran ilmu dan teknologi dengan tamadun lain.

Ini hanya dari segi teknologi dan ilmu pada ketika itu, jikalau dinilai dari aspek yang lebih besar termasuk dalam perdagangan, Lembah Bujang telah pun menjadi pusat perdagangan jauh lebih dari gambaran melalui penyelidikan dan uji kaji.

Ini secara terang-terang mengukuhkan dakwaan bahawa kawasan Lembah Bujang merupakan pembukaan penempatan awal yang mencetuskan kelahiran kerajaan agung lama, Kerajaan Kedah Tua. 

Turut dijumpai adalah tembikar dan patung Buddha dengan tulisan Pallava-Sanskrit yang dianggarkan dibuat sekitar kurun kelima. Proses menggali dan mengenal pasti kawasan dijalankan oleh Pusat Kajian Arkeologi Global(CGAR), Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengesahkan bahawa 10 tapak telah digali dan 97 dandang telah ditemui.

Baru-baru ini CGAR menemukan tapak peleburan besi baharu di Jeniang, Kedah yang merangkumi tujuh ketuhar yang suatu ketika digunakakn untuk melebur besi.

Kawasan ini dipercayai turut menjadi salah satu pusat pentadbiran Empayar Sri Vijaya yang diketuai oleh seorang pemerintah bernama Sri Mara Vijayatungga Warman. Kekayaan empayar ini telah menarik perhatian Empayar Chola untuk menjajah kawasan tersebut. Raja Chola menghantar bala tentera untuk menawan kawasan tersebut dan dijadikan sebagai sambungan kepada Empayar Chola yang berpusat di India.


Selain daripada penawanan, Lembah Bujang turut mempunyai hubungan antarabangsa yang baik dengan Empayar Chola. Ini disahkan dengan kewujudan duta yang dihantar oleh Sri Mara Vijayatungga Warman bernama Vimalan Agatheesvaran bersama dengan lampu hadiah, perhiasan Kalasam perak dan pinggan yang dihantar ke kuil di Tamil Nadu.

Penemuan ini dikukuhkan lagi dengan inskripsi yang menceritakan tentang Kuruthu Kesavan, ketua pegawai dari Kadaram yang membawa hadiah berupa emas China untuk ditempatkan di kuil yang sama.

Mitos

Sejarah Lembah Bujang boleh dijejaki dari pelbagai sumber. Ia boleh dikaitkan dengan sumber dari zaman prasejarah dan penemuan tapak arkeologi di Lembah Bujang, perdagangan India, Parsi, Arab. Kaitannya juga jelas ditulis dalam beberapa manuskrip penghijrahan kaum Cina, Hikayat Merong Mahawangsa dan Al-Tarikh Salasiah Negeri Kedah.

Hikayat Merong Mahawangsa dipercayai ditulis pada lewat abad ke-18. Walaupun terdapat maklumat tepat berkenaan kejadian sejarah yang pernah berlaku, namun terdapat juga peristiwa yang agak sukar dipercayai telah ditulis.

Hikayat itu berkisar tentang pembukaan negeri Kedah oleh Merong Mahawangsa yang dikatakan dari keturunan Zulqarnain Agong dari Macedonia hingga penerimaan Islam. - Kedahnews.com