Michelle Yeoh Selar Isu Gangguan Seksual Penerbit Filem


HONG KONG - Produser filem, Harvey Weinstein yang terpalit dengan tuduhan gangguan seksual seharusnya bersyukur dia tidak pernah cuba melakukan gangguan itu terhadap bintang kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh.

Menurut Yeoh, jika dia diapa-apakan oleh Weinstein sewaktu  mereka bekerjasama sebelum ini, keadaan pastinya akan menjadi teruk.

"Jika dia mencuba untuk melakukan perkara itu ke atas saya, saya pasti akan menggunakan kemahiran mempertahankan diri yang sudah bertahun saya pelajari.

"Saya tidak didedahkan dengan sifat sebenarnya tapi saya tahu dia tahu dia adalah seorang pembuli dan seorang yang tidak jujur," ujar Yeoh.


Pada Rabu, Yeoh dan aktres dari China Zhang Ziyi menyelar produser itu setelah tuduhan gangguan seksualnya didedahkan oleh The New York Time dan The New Yorker.

Weinstein merupakan produser kepada projek terbaharu Yeoh iaitu siri sejarah Marco Polo 2014-2016.

Mereka turut bekerjasama dalam sekuel filem Crouching Tiger, Hidden Dragon yang pernah memenangi anugerah Oscar pada tahun 2000.

Selain itu, Yeoh juga merupakan duta Yayasan Kajian Aids Amerika (amfAR) yang mana dia bekerjasama dengan Weinsten sejak sekian lama.

Zhang yang turut membintangi Crouching Tiger, Hidden Dragon meluahkan rasa gembiranya kerana tidak lagi perlu bekerjasama dengan Weinstein.

"Dia pernah menawarkan saya untuk filemnya dan berjanji untuk bantu saya memenangi anugerah Akademi namun, saya menolak kerana syarat diberikannya bersifat tidak adil," kata Zhang.


Perbuatan terkutuk Harvey mula terdedah apabila aktres Ashley Judd tampil mendedahkan perkara itu di Instagram miliknya.

Sejak itu, lebih ramai aktres tampil memberitahu pernah menjadi mangsa Harvey seperti Gwyneth Paltrow, Angelina Jolie, Mira Sorvino, Lucia Evans, Jessica Barth selain model kelahiran Itali, Ambra Battilana Gutierrez.

Sumber: Mstar Online