Mukim Sungai Batu Hotspot Gangguan Bekalan Air


ALOR SETAR - Mukim Sungai Batu, Bandar Baharu, telah disenarai Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) sebagai hotspot kawasan yang sering mengalami masalah gangguan bekalan air.

Menurut Pengurus Sada Wilayah Selatan Zulazni Mohd Noor, langkah tersebut dilakukan memandangkan bekalan air di kawasan berpenduduk lebih 4,000 orang itu semakin kritikal sejak Ogos lalu.

“Ini akan lebih memudahkan pihak Sada memberi perhatian masalah bekalan air yang berlaku di sini. Dengan tersenarai dalam hotspot ini, kami akan lebih mudah membuat tindakan seperti pemeriksaan atau agihan bekalan air jika berlaku masalah terutama pada musim perayaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Dialog Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung ( JKKK) serta Sada di Dewan Kampung Sungai Batu di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Baharu, Datuk Noorsabrina Mohd Noor serta Pegawai Pembangunan Sada Alor Setar, Helmi Mohd Jusoh dan Eksekutif Agihan Zon Bandar Baharu, Shahrin Abd Rashid.

Dalam pada itu, pihak Sada akan memulakan kerja-kerja pemeriksaan saliran paip agihan di seluruh mukim bagi mencari kebarangkalian berlaku paip pecah atau bermasalah yang membawa kepada berlakunya tekanan air rendah. 

“Kerja-kerja tersebut akan bermula hari ini dan sepanjang tempoh berkenaan, pihak Sada akan meletakkan tangki air statik bagi memudahkan penduduk di kawasan terjejas mendapat bekalan air berterusan,” katanya yang dipetik dari Bernama.

Tambah beliau lagi, melalui maklum balas yang diperoleh, kawasan yang terjejas teruk adalah di Kampung Sungai Pasir iaitu 10 rumah yang terletak di kawasan atas bukit yang mengalami masalah air hampir setiap hari sejak beberapa tahun lalu dan kini semakin kritikal.

Selain itu, hasil pemeriksaan Sada mendapati tekanan air terganggu turut berpunca daripada dua kilang pemprosesan kelapa sawit dan beberapa ladang ternakan ayam serta itik yang beroperasi di mukim terbabit.

"Kami akan lihat sama ada kilang dan ladang ternakan itu menggunakan tangki mengepam seperti yang terdapat dalam garis panduan yang ditetapkan,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu, Norsabrina Mohd Noor, berharap pihak JKKK lebih agresif dalam melaporkan kejadian mencuri air serta penyambungan saliran paip haram yang berlaku akibat terdesak mahu mendapatkan bekalan air.

“Untuk itu kami harap penduduk bersabar untuk sedikit masa lagi memandangkan projek naik taraf loji air di Lubuk Buntar akan siap tidak lama lagi,” katanya.- Kedahnewscom