Mulut Bayi Melecur Kerana Kabel Charger


SEORANG bayi yang berusia 19 bulan melecur teruk di bahagian mulutnya apabila dia memasukkan kabel pengecas telefon bimbit ke dalam mulutnya.

Insiden tersebut diaporkan berlaku di Glasgow, Amerika Syarikat pada 28 September lalu.

Menurut ibunya, Courtney N Davis, anak perempuannya itu telah memasukkan kabel yang masih mempunyai arus elektrik ke dalam mulutnya.

Hal itu menyebabkan bayi itu sekaligus terkena renjatan elektrik dan membuatkan bibir kirinya melecur teruk.

Sejurus insiden itu terjadi, Courtney bergegas membawa anaknya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Namun, doktor menyatakan tiada ubat yang boleh disapu di bibir bayi berkenaan kerana bimbang dia akan menjilat sekaligus menelan ubat tersebut.

Tambah Courtney lagi, kecuaian itu terjadi apabila dia terlupa untuk meletakkan pengecas telefon bimbit itu di tempat yang seperti kebiasaannya.

“Sebelum ini, dia tidak pernah cuba untuk memasukkan kabel charger tersebut ke dalam mulutnya dan tidak pernah menyentuhnya langsung.

“Namun, hari ini dia telah memasukkannya ke dalam mulut dan menyebabkan bahagian kiri mulutnya melecur dengan teruk,” tulisnya di laman Facebook.

Dalam pada itu, Courtney sempat berpesan kepada sesiapa sahaja supaya sentiasa berhati-hati dan tidak cuai meletakkan barang-barang elektrik seperti pengecas telefon bimbit di merata-rata tempat.

Entri Courtney ini telah mendapat pelbagai reaksi daripada nerizen dan menjadi tular di AS dan telah dikongsi sebanyak lebih 200,000 kali.

Diharapkan insiden yang dikongsikan Courtney ini dijadikan pengajaran kepada kita dan lebih berhati-hati selepas ini. - Kedahnews.com