Murid Tahun 6 Maut, Rakan Cedera Parah Motosikal Dirempuh Kereta Di Kangar


MURID 12 tahun maut manakala rakan sebayanya parah selepas motosikal mereka dirempuh kereta di Simpang Empat Jalan Sungai Padang, Kangar, Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Kangar, Deputi Superintendan Zaini Talib berkata, kejadian pada 3.15 petang.

Menurutnya, kemalangan membabitkan Perodua Viva yang dipandu wanita 41 tahun dari Simpang Empat dan motosikal yang ditunggang Muhammad Iqmal Danial Ahmad Tamezi bersama rakannya, Muhammad Zarif Aiman Zulkepli.

“Kereta yang dipandu wanita itu dari arah Sungai Padang menuju ke Simpang Empat, merempuh motosikal itu apabila mangsa tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kiri arah Jalan Sungai Baru.

“Wanita itu tidak sempat menekan brek, merempuh motosikal itu dan terbabas ke kanan jalan manakala mangsa terpelanting ke tengah jalan," katanya ketika dihubungi.

Zaini berkata, mangsa, Muhammad Iqmal, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya parah di kepala dan dihantar Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Mangsa yang meninggal dunia turut dibawa ke hospital sama. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sumber:MyMetro