KUALA LUMPUR - Myanmar berani mengetepikan saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menerima semula etnik Rohingya yang lari ke Bangladesh kerana menyedari negara berpengaruh di rantau Asia seperti China, Jepun dan India tidak mempunyai konsesus dalam konflik di wilayah Rakhine.
Presiden Gerakan Keadilan Sedunia (JUST), Dr Chandra Muzaffar, berkata keengganan Myanmar bekerjasama dengan PBB juga membuktikan kedegilan dan keangkuhannya untuk tidak membenarkan pekerja bantuan masuk ke wilayah bergolak itu.
"Myanmar angkuh apabila tidak mahu bekerjasama dengan PBB.
"Ia jelas membuktikan negara itu melakukan penghapusan etnik ke atas Rohingya dengan tindakan terancang dan sistematik," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Chandra mengulas laporan agensi berita AFP hari ini mengenai kegagalan PBB memujuk Myanmar menerima kembali etnik Rohingya yang berlindung di Bangladesh, selain tidak membenarkan kemasukan pekerja bantuan ke negara itu.
Lebih setengah juta pelarian etnik Rohingya dari Rakhine, wilayah sempadan Bangladesh dan Myanmar, lari ke Bangladesh sejak 25 Ogos lalu susulan operasi berdarah Tentera Myanmar di utara Rakhine.
Media antarabangsa melaporkan pencabulan hak asasi manusia dilakukan ke atas Rohingya yang turut dibunuh, dirogol dan rumah dibakar walaupun tentera mendakwa hanya mensasarkan militan.
Chandra berkata, apa yang berlaku di Myanmar adalah implikasi langsung kegagalan masyarakat dunia untuk bersatu dalam isu penindasan ke atas Rohingya.
Katanya, dunia perlu memujuk negara yang berpengaruh ke atas Myanmar seperti China, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun, untuk bertindak dan mengenakan tekanan.
"Perlu ada tekanan untuk bertindak. Jika Myanmar tahu China, AS benar-benar serius menghentikan konflik Rakhine, mungkin ia akan mengubah tindakan," katanya.
Sumber: BHOnline