ALOR SETAR - Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa membidas PAS sebagai parti yang jumud dan takbur eksklusif kerana menganggap pemimpin mereka sahaja yang baik.
Beliau juga menyifatkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz sebagai 'mabuk cinta' dengan pembenci Pakatan Harapan.
Orang mabuk cinta memang begitu... kata-katanya kurang difahami, hanya kekasihnya sahaja yang mengetahui apa yang diungkapkan, kata Mujahid.
"Namun bagi pendengar lain kata-katanya hanyalah bebelan yang layak dikatakan ‘meraban’ saja," kata Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.
Mujahid yang juga anak bekas Presiden PAS, Datuk Yusof Rawa berkata: "Mabuk ada macam-macam, selain mabuk hakiki ada mabuk majazi."
" Nik Abduh sudah mabuk cinta dengan pembenci Pakatan agaknya, maka semua yang disuka oleh kekasihnya itulah yang dimadahkan dan setiap sesuatu yang dibenci kekasihnya itulah yang dipenakan, " kata Mujahid yang dimuat naik tulisan menerusi facebook semalam.
Mujahid yang juga bekas pemimpin PAS berkata demikian bagi menjawab dakwaan Nik Abduh, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS yang mendakwa penyokong PAN adalah para pemberontak di desa dan kampung.
Kelmarin Nik Abduh berkata, penyokong PAN mendakwa diri mereka sebagai reformis atau sang mujaddid di dalam masyarakat, tetapi hakikat yang dilihat adalah jauh sekali.
Menurut Nik Abdul lagi penyokong PAN kini sedang memberontak terhadap usaha reformasi dan Islam yang bergerak harmoni di kampung atas usaha PAS sejak sekian lama.
Dalam reaksi balas itu Mujahid turut menyindir PAS, parti yang ditinggalkan kira-kira dua tahun lalu itu sebagai sebuah parti yang jumud.
"Orang mabuk tak sedar apa yang diungkapkan, dalam kata adinda sendiri (Nik Abduh) sudah ada sifat ‘takabur eksklusif’ iaitu perasaan bangga dia sahaja yang buat baik, orang lain tidak, " kata Mujahid.
AMANAH atau PAN diasaskan dan ‘meninggal’ PAS kerana kejumudan PAS sedangkan kejumudan adalah sifat bertentangan dengan ciri reformis, kata Mujahid.
.
Menurut Mujahid lagi tiada yang lebih jumud daripada parti yang telah berjaya merobohkan tembok perkauman berpuluhan tahun, tiba-tiba generasi PAS sekarang kembali membinanya semula. - Kedahnews.com