Naik Taraf Ban Pantai Merbok Mampu Mengurangkan Impak Banjir


ALOR SETAR - Projek menaik taraf ban pantai dan pintu kawalan pasang surut dijangka siap pada Jun tahun depan dapat mengurangkan impak banjir bagi kawasan berhampiran jika bencana tersebut berlaku.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain, projek menaik taraf ban tersebut adalah untuk memastikan air masin (laut) tidak masuk ke sawah sekali gus menjejaskan hasil tanaman padi dikawasan berhampiran.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai berkata, pelaksanaan projek tersebut akan dapat memberi manfaat kepada kira-kira 1,100 keluarga di kawasan kawasan Jilid Satu hingga Sembilan.

“Kita menerima pelbagai adu­­an dan maklum balas terma­suklah mengenai projek menaik taraf ban yang didakwa meng­akibatkan banjir yang lebih te­ruk di rumah-rumah penduduk sekitar berbanding banjir yang berlaku sebelum ini.

“Beberapa kelemahan dikesan berlaku dalam proses menaik taraf Ban Merbok dan pihak terbabit sudah mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi perkara itu, antaranya pintu kawalan keluar masuk air yang perlu dibuat pemasangan semula selain kebocoran di salah satu ban tersebut,” ujarnya yang dipetik dari Utusan Online.

Berikut adalah kenyataan beliau kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 50 orang penduduk tempatan dan jabatan serta agensi terlibat dengan kerja-kerja menaik taraf Ban Merbok di Kampung Kuala Segantang Garam, Sungai Petani, kelmarin.

Tajul Urus berkata, projek pembinaan Ban Merbok sepanjang 11 kilometer yang bakal  dibina itu melibatkan kos lebih RM22 juta akan memberi kemudahan kepada petani melaksanakan projek ta­naman padi seluas 1,051 hektar.

“Projek yang menelan belanja RM22,080,224 itu melibatkan pembinaan tujuh ban baharu serta menaik taraf tiga ban sedia ada bagi mengelakkan air masin daripada masuk ke kawasan sawah padi serta menaik taraf sistem kawalan pasang surut air.

“Terdapat sawah seluas 1,051 hektar di kawasan itu dan kerajaan berhasrat membantu mereka meningkatkan hasil padi menerusi pembinaan ban tersebut,” katanya.- Kedahnews.com