Najib Deklamasi Puisi Usman Awang, Tidak Lupa Pengorbanan Guru


ALOR SETAR - Pengorbanan golongan pendidik terus diingati dan diberi perghargaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Semasa membentangkan Bajet 2018 di Parlimen, Jumaat lalu, Najib turut memetik puisi Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Usman Awang atau Tongkat Warrant, berbunyi:

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa,...
Menjadi seorang Perdana Menteri,... menjadi doktor,... menjadi peguam,...
Menjadi ahli politik,... menjadi akauntan,...
Hakikat,... sejarahnya dimula oleh seorang guru biasa,...
Dengan lembut dan sabar,...
Gurulah yang mengajar kita menulis dan membaca.

Kata Najib: "Begitulah mulianya pengorbanan para guru, bagai lilin yang membakar diri. Maka diucapkan syabas kepada semua guru di seluruh negara, yang telah bertungkus-lumus membangunkan anak-anak bangsa!"

Pada ucapan Bajet 2018 itu Perdana Menteri memaklumkan sejumlah RM2.9 bilion diperuntukkan untuk bantuan makanan, buku teks, geran kapita dan biasiswa kecil persekutuan.

Beliau juga menjelaskan bantuan persekolahan RM100 seorang kepada murid sekolah yang berpendapatan rendah diteruskan dengan peruntukan RM328 juta dan akan dimanfaatkan oleh 3.2 juta murid.

Manakala baucar buku untuk pelajar IPT dan tingkatan enam bernilai RM250 juta diteruskan di mana seramai 1.2 juta pelajar akan mendapat faedah.

Bagi menggalakkan lepasan TVET melanjutkan pengajian, kerajaan menyediakan seratus Biasiswa Pelajar Cemerlang TVET dengan peruntukan RM4.5 juta.

Bantuan makanan kepada pelajar yang diberikan itu sekaligus menepis dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa ada murid sekolah tiada makanan akibat pelaksanaan GST.  

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan semasa berucap di Jejawi Perlis pada 21 Oktober lalu mendakwa ramai rakyat menderita dan papa sementara anak-anak sekolah tiada makanan. - Kedahnews.com