Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Ekrima Said Sabri di pejabatnya di bangunan Parlimen.
Pertemuan pada pukul 9 pagi itu berlangsung selama hampir setengah jam.
Sheikh Ekrima, yang pernah dikenakan tahanan di rumah oleh regim zionis Israel, melawat Malaysia buat pertama kali pada tahun 2003.
Pada Julai tahun ini, beliau dilapor mengalami kecederaaan selepas selesai menunaikan solat di luar pintu Masjid Al-Aqsa, apabila polis Israel cuba menyuraikan penunjuk perasaan dengan menggunakan kekerasan hingga menyebabkan sekurang-kurangnya 14 rakyat Palestin cedera.
"Alhamdulillah, Malaysia sering dikunjungi para alim ulama, dan pagi ini saya menerima kunjungan Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Ekrima Said Sabri. Semoga Allah SWT terus merahmati dan pelihara beliau dalam menegakkan syiar Islam, Insya-Allah," kata Najib dalam Facebook beliau hari ini. - Kedahnews.com.