Nasi Ganje Pendang RM5 Jadi Tumpuan


PENDANG - Kewujudan restoran Nasi Ganje Pendang yang terletak di tengah Pekan Pendang menjadi tumpuan ramai apabila sentiasa dipenuhi pelanggan.

Pengusaha restoran, Mohd Yusdie Kishor, 26, berkata, menu makanan yang menggunakan resepi rempah ratus sendiri menjadi kekuatan untuk restorannya menarik ramai pelanggan.

"Dulu saya buka gerai tepi jalan sahaja, tapi atas sebab sambutan yang sangat menggalakkan saya berjaya buka restoran pula," katanya.

Katanya, dia juga meletakkan harga yang agak murah bagi satu set makanan nasi ganje iaitu RM5.

"Saya guna rempah rekaan sendiri untuk memasak nasi dan juga ayam goreng.

"Selain daripada nasi bewarna kuning yang menjadi penarik selera pelanggan dan ayam goreng berempah, Yusdie turut menyediakan tiga jenis kuah yang boleh dipilih pelanggan.

"Tiga jenis kuah itu ialah, kari ayam, daging masak hitam dan dalca," katanya.


Yusdi mempunyai pengalaman sebagai tukang masak di sebuah hotel di Langkawi selama dua tahun dan kemudian merantau menimba pengalaman di sebuah hotel antarabangsa di Qatar, juga selama dua tahun.

"Saya merantau untuk mencari pengalaman dan alhamdulilah pengalaman tu saya guna untuk meniaga nasi ganje ini," katanya.

Katanya, nasi ganje miliknya turut mendapat sambutan daripada pelanggan luar negeri seperti Johor dan Kelantan.

"Sehari saya anggarkan seramai 200 pelanggan yang akan datang ke kedai saya..saya pun mula tak sangka, tapi syukur atas rezeki yang ALLAH berikan," katanya.

Restoran milik Yusdie dibuka setiap hari pada jam 12 tengah hari hingga 12 malam kecuali Rabu.

Sumber – Sinar Harian