Nelayan Hampir Maut Kerana Tambakan Laut


GEORGETOWN- Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa tidak bertanggungjawab apabila melengahkan tindakan penyelesaian mengenai beberapa masalah dihadapi nelayan ekoran kerja tambakan laut di pesisir Pantai Jerejak.

Ia berikutan kelewatan kerajaan negeri menyelesaikan isu berhubung kegagalan pemaju mematuhi aspek keselamatan, sekali gus menyebabkan golongan nelayan di kawasan terbabit terdedah kepada pelbagai risiko.

Nelayan, Mohd Maidin Abd Hamid, 62, berkata lokasi tambakan laut di kawasan terbabit jelas tidak mematuhi spesifikasi termaktub dalam ordinan dan undang-undang maritim apabila pemaju gagal mematuhi aspek keselamatan.

Katanya, situasi itu menyebabkan nelayan berhadapan kesukaran untuk menangkap hidupan laut, selain berhadapan risiko kemalangan bot dan pukat tersangkut di tapak tambakan laut terbabit.

"Keadaan ini amat berbahaya bagi nelayan yang turun ke laut pada waktu malam kerana tiada sebarang lampu atau isyarat keselamatan mahu pun zon selamat disediakan berhampiran kawasan tambakan laut terbabit.

"Saya juga sudah mengalami kejadian bot berlanggar dengan silinder penghadang di lokasi terbabit, menyebabkan 10 pukat rosak dan berhadapan kemungkinan insiden meragut nyawa," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mengimbau detik cemas itu, Mohd Maidin berkata, dia berhadapan detik mencemaskan itu apabila bot dinaikinya hampir karam ketika melanggar silinder penghadang terbabit, kira-kira jam 1 pagi, pada 23 Julai lalu.

"Nasib baik sempat menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk minta bantuan. Bagaimanapun, saya masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada pemaju mahu pun kerajaan negeri.

"Saya mengemukakan kos baik pulih bernilai RM2,500 tanpa mengambil kira faktor lain kepada pemaju, tetapi mereka hanya mahu bayar RM700 sebagai ganti rugi. Ini menyebabkan saya menganggur lebih dua bulan.

"Lebih menyedihkan apabila Timbalan Ketua Menteri I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan EXCO Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin, mengambil perkara ini sambil lewa," katanya.

Sebelum ini, penduduk Pantai Jerejak mendakwa pemimpin kerajaan negeri tidak pernah mengambil berat aduan mereka yang berhadapan masalah akibat kerja tambakan laut.

Malah, ada pemimpin negeri turut didakwa bersikap sombong dan enggan melayan aduan yang dikemukakan penduduk kawasan berkenaan.

Sumber: BH Online