NGO Bukan Islam Amat Prihatin Terhadap Rohingya


Kekejaman dan keganasan ke atas etnik Rohingya bukan sahaja membuka mata umat Islam seluruh dunia, malah turut menggerakkan usaha NGO bukan Islam untuk bersama-sama membantu mereka.

Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Jamuliddin Elias berkata, bantuan yang tiba bukan sahaja daripada NGO dari negara yang menyokong Rohingya, malah NGO bukan Islam turut bersepakat menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Bukan kami sahaja yang ada di sana (kem pelarian), malah kami bertemu dengan NGO Islam dan bukan Islam daripada seluruh dunia.

“Antaranya termasuk NGO daripada Eropah, Amerika Syarikat, China, Indonesia, Indonesia dan Korea. Malah ramai lagi datang daripada pelbagai negara yang tidak dapat saya sebutkan. Kerana jumlah mereka terlalu ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini kelmarin.

Jamiluddin bersama tujuh lagi individu, menyertai misi kemanusiaan SINAR4ROHINGYA selama 10 hari di kem pelarian Tefnaf berhampiran Cox’s Bazar, Bangladesh.

Menurutnya, kesemua mereka tiba di Bangladesh dengan niat yang sama iaitu mahu membantu pelarian Rohingya meneruskan kehidupan mereka di kem tersebut.

“Selain kami, ada juga NGO daripada negara kita ke sana. Ada yang menaiki van dan hanya membaling makanan dan keperluan menerusi tingkap kenderaan.

“Pada mulanya kami tidak puas hati, berang dan menyifatkan tindakan itu agak biadab. Namun lama-lama kami faham mengapa kumpulan tersebut terpaksa berbuat demikian.

“Mereka perlu mengelakkan daripada diserbu dan disekat oleh pelarian yang berebutkan makanan dan keperluan,” katanya.

Jamuliddin berkata, mereka kini memerlukan dana tambahan bagi membina pam air dan tandas untuk digunakan oleh pelarian Rohingya di kem tersebut.

“Buat masa ini, air yang digunakan oleh pelarian sedikit berbau. Jadi kita mahu bina pam air yang memudahkan proses tapisan dan sulingan air bersih kepada pelarian,” katanya.

Sumber: MalaysianAcces