NGO Jangan Ghairah Dedah Kongsi Gelap


JOHOR BAHRU - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dinasihatkan supaya tidak terlalu ghairah untuk mendedahkan serta menguar-uarkan kepada orang ramai berhubung kegiatan berkaitan jenayah kongsi gelap.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, mereka sepatutnya menyalurkan maklumat yang diperolehi kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil ke atas mereka yang terlibat.

“Ketua kongsi gelap dan sebagainya saya berharap perkara tersebut dapat dilaporkan kepada pihak berkuasa polis, kalau tak puas hati dengan polis boleh lapor kepada saya.

“Jadi, biar ada bukti....soalnya sekarang banyak NGO buat tuduhan dan tidak kemukakan apa-apa bukti,” katanya selepas bersarapan bersama penduduk Taman Kobena di sini sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, kumpulan NGO itu juga dinasihatkan supaya berhati-hati kerana keselamatan mereka juga boleh terancam kerana mendedahkan aktiviti seumpama itu.

Tambahnya, soal kegiatan kongsi gelap itu berada di mana-mana negara dan bagi negara ini, pihak berkenaan sedang dan akan sentiasa mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat.

“Jadi, biar pihak berkuasa yang berkenaan di bekalkan dgn apa juga maklumat supaya kita boleh ambil tindakan dan tak payahlah perkara itu diuar-uarkan secara umum,” katanya.

Sumber: Utusan Online