SEORANG lelaki berusia 28 tahun nyaris maut selepas besi angkat berat 120 kilogram yang digengamnya terlepas dalam kejadian di sebuah gimnasium di Morayfield, Australia.
Lapor Daily Mail, kejadian dilaporkan berlaku pada Khamis di Genesis Gym, kira-kira 10km utara Brisbane.
Rakaman CCTV berdurasi 17 saat memaparkan, Jason Layt yang ketika itu sedang baring di atas kerusi angkat berat cuba mengangkat pemberat berkenaan namun disebabkan tidak mengenggam kuat, ia terjatuh dari bahagian dada sehingga ke leher.
Mujurlah pada masa itu, seorang ahli gimnasium yang berada di lokasi menyedari situasi yang dialami Jason, lalu cuba sepantas kilat cuba menyelamatkan lelaki berkenaan.
Rakaman turut menunjukkan keadaan Jason yang cuba sedaya upaya mengalihkan pemberat itu namun gagal.
Jason kemudian di bawa ke hospital di mana lehernya perlu dikekalkan kedudukan dengan alat pengekal selama lima jam.
Menurut Jason, mujurlah kemalangan yang menimpa dirinya itu tidak mengakibatkan kecederaan yang serius.
Difahamkan, ia merupakan kejadian kali kedua melibatkan pusat gimnasium berkenaan di mana pada dua minggu lalu, Ben Shaw, 15 turut mengalami kecederaan akibat dihempat pemberat.
Sumber: Mynewshub