Operasi SAR Cari 6 Pemancing Diperluas – APMM


ALOR SETAR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan enam pemancing serta seorang tekong bot pancing yang dilaporkan hilang di perairan barat laut Pulau Bunting, Yan, semalam, diperluaskan hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Kuala Kedah, Leftenan Maritim Hairil Izhar Nor Azmi berkata kawasan pencarian mangsa diperluaskan kepada 210 batu nautika persegi dari tempat bot dilaporkan hilang.

“Semalam kami mencari mangsa dalam kawasan seluas 48 batu nautika persegi tetapi hari ini ia diperluaskan kepada 210 batu nautika persegi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jeti Kuala Sala.

Kesemua identiti enam mangsa telah diperoleh selepas anggota keluarga mangsa yang hilang datang ke pusat operasi, namun begitu, satu lagi identiti mangsa masih belum diketahui.

Mangsa yang telah dilaporkan hilang semalam adalah ialah tekong bot, Kharulanuar Arsad, 39, dan pemancing yang terlibat ialah Mohamad Ramli, 57, Mohd Salihin Ibrahim, 52, Mohamad Nazri Abdul Hamid, 47, Azmi Raif Mohd Noh dan Ah Onn.

Hairil Izhar berkata tujuh mangsa ini dikhuatiri hilang selepas bot yang dinaiki mereka hanyut dan operasi mencari telah diaktifkan pada 9.43 pagi, semalam selepas menerima laporan polis. - Kedahnews.com