Orang Kedah Diyakini Mampu Nilai Sendiri Siapa Mahathir Sebenarnya


ALOR SETAR - Rakyat di negeri ini diyakini dapat menilai sendiri tindakan politik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sanggup berbuat apa saja untuk mencapai cita-cita peribadinya.

Sanggup bersekongkol dengan DAP yang merupakan sebuah parti yang menjadi bahan cemuhan Mahathir berpuluh-puluh tahun khususnya ketika menjadi Perdana Menteri telah membuktikan sikap sebenar beliau.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mengulas mengenai sikap bekas Perdana Menteri itu mengimbas kembali tentang apa yang dikatakan Mahathir terhadap DAP yang kini menjadi sekutu rapatnya.

“Hari ini masyarakat serta pengundi tidak boleh diperbodohkan dan masyarakat turut boleh menilai apa yang dilakukan Tun dalam hendak menjayakan cita-citanya ".

"Kalau dulu apa yang dia tidak bagitau pada kita, malah semenjak di zaman saya pemuda dulu lagi, apa yang tidak disebut oleh Tun M mengenai parti (DAP) itu" kata Ahmad Bashah sejurus hadir memeriahkan program Santai Anak Muda (SAU) di Sungai Petani, baru-baru ini.


Program anjuran sebuah NGO itu berjaya menghimpunkan kira-kira 50,000 anak muda dari seluruh Kedah yang bersorak gembira apabila Ahmad Bashah mengumumkan litar lumba yang bakal terbina di Aman Jaya di sini, tidak lama lagi.

Selain itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri itu juga meluahkan rasa kesal beliau terhadap Mahathir yang mahu menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Ahmad Bashah kecewa apabila UMNO dan BN yang begitu setia mendokong Mahathir selama 22 tahun meskipun terpalit dengan pelbagai dakwaan dan skandal, tiba-tiba mahu dijatuhkan demi mencapai cita-cita peribadi bekas Presiden UMNO itu.

"Dan kita juga pelik bila Tun boleh bekerjasama dengan parti DAP selepas 22 tahun dia menjadi Perdana Menteri semata-mata untuk mengalahkan Barisan Nasional dan UMNO," kata beliau lagi.

Menyentuh mengenai persiapan BN menjelang PRU ke-14, Ahmad Bashah menjelaskan bahawa pihaknya kini sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya dan berusaha memantapkan persediaan parti.

"Persiapan jentera parti di 15 Parlimen dan lebih 600 Pusat daerah mengundi (PDM) sudah berjalan dan kita cukup bersedia dan apa yang kurang sedang ditambah baik dari masa ke semasa.

"Kita lakukan audit, kita turun ke semua bahagian, kita berjumpa dengan pemimpin di setiap peringkat, mana yang kurang kita tambah baik dan mantapkan tambahnya lagi.

“Kita adakan kursus, simulasi, perjumpaan serta perbincangan dengan ketua-ketua PDM, komponen di dalam BN dan sebagainya untuk menghadapi PRU ke 14 ini," katanya.

Walau bagaimanapun, Ahmad Bashah sekali lagi menegaskan tentang pemilihan calon pilihan raya kali ini mestilah berteraskan kepada pemimpin yang "winnable" dan diterima baik oleh segenap lapisan masyarakat di kawasan masing-masing.

Tegas beliau, pemimpin parti di setiap kawasan perlu akur bahawa rakyat di kawasan merekalah yang bakal membuat keputusan sama ada untuk memilih calon BN pada pilihan raya nanti.

Justeru, Menteri Besar Kedah itu menyeru kepada seluruh kepimpinan parti agar terus menabur bakti dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat yang menjadi amalan tradisi kecemerlangan BN setiap penggal di negeri ini. - Kedahnews.com