ALOR SETAR - Pekan Kodiang terletak disempadan Kedah dan Perlis dan namanya dipercayai berasa dari nama Siam iaitu “Kok” atau “Kor” yang membawa maksud pulau atau belukar.
“Deng” pula bermaksud merah. Oleh itu nama Kokdeng itu bermaksud “Pulau Merah” atau “Belukar Merah”. Nama itu kemudian menjadi sebutan dalam Bahasa Melayu menjadi “Kodiang”.
Mengikut cerita orang-orang dahulukala, kawasan Kodiang itu adalah merupakan lautan yag akhirnya berlaku mendapan dan timbul pulau-pulau kecil serta muncul beberapa buah bukit. Sehingga kini terdapat beberapa batang sungai yang dikelilingi sawah.
Satu ciri menarik pada bukit-bukit di sekitar Kodiang iaitu Gua Pasir, Gua Angin, Gua Kerbau dan lain-lain dan sehingga sekarang masih terdapat tulang-tulang serta kerangka hidupan laut.
Asal Kodiang ialah di Kampung kodiang Lama, kira-kira 1 km dari Simpang Empat Pekan Kodiang melalui Jalan ke Jitra. Di Kodiang Lama inilah terdapat sebuah kampong yang berdekatan dengan Bukit Keplu dan Gua Kerbau.
Di kampung inilah yang dimaksudkan sebagai bukit merah itu, di mana pada musim kemarau dapat dilihat bukit ini bertukar menjadi merah dan kering. Nama Bukit Keplu juga berasal dari Bahasa Siam yang bermaksud Bukit Sireh (Kok Plu).
Bukit Keplu ialah sebuah bukit batu kapur yang dikelilingi sawah padi. Pada bukit ini terdapat beberapa buah gua yang mempunyai cerita menarik dan sejarah tersendiri. Antara gua-gua tersebut terdapat lukisan-lukisan (tulisan) purba yang masih kelihatan hingga hari ini.
Antara gua-gua yang boleh dikunungi ialah Gua Kerbau, Gua Gong, Gua Ikan, Gua Gelap, Gua Pasir, Gua Pelamin dan Gua Kelawar.
Masyarakat Kodiang majoritinya adalah terdiri dari orang Melayu Islam dan bertani seperti bersawah dan berkebun getah sebagai sumber ekonomi. Di samping itu terdapat juga kaum Cina dari etnik Hokkien yang menjalankan aktiviti perniagaan dan mereka ramai mendiami di Lorong Belakang Mesjid.
Terdapat juga kaum Cina dari etnik yang lain di Kodiang. Selain itu terdapat juga bangsa Siam dan India. Bangsa Siam ini kebanyakannya menetap di sekitar Padang Sera kerana di situ terdapat sebuah Wat Siam yang besar.
Pada era 70an dan 80an Kodiang terkenal dengan pasembornya, Pasembor Kodiang da nada tiga peniaga pasembor utama iaitu Kedai Mamak Hussin (berpindah ke perkarangan Mesjid Jamek Kodiang), Gerai Abdul Majid di simpang ke Sanglang (berpindah ke Bangunan sebelah RMTEAM) dan Kedai Ghani di Medan MARA Stesen Bas Kodiang (kini sudah pindah ke Kampung Kubang Beruang) - Kedahnews.com