LONDON - Kolej Universiti Oxford, bekas pusat pengajian Aung San Suu Kyi berkata, ia menurunkan potret pemimpin Myanmar itu susulan kritikan meluas terhadap penerima Hadiah Nobel Keamanan berkenaan berhubung krisis Rohingya.
Potret yang dipamerkan di pintu masuk utama Kolej St Hugh, kini disimpan dan digantikan dengan lukisan baharu Khamis lalu yang disumbangkan oleh artis Jepun, Yoshihiro Takada.
Suu Kyi yang menuntut di St Hugh, menamatkan pengajian dalam bidang falsafah, politik dan ekonomi pada 1967 sebelum menamatkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang politik pada 1968.
“Kami menerima satu lukisan baharu pada awal bulan ini yang akan dipamerkan di pintu utama untuk satu tempoh tertentu,” kata kolej itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Lukisan Aung San Suu Kyi sudah dipindahkan ke lokasi yang selamat.
Universiti berkenaan bagaimanapun tidak mengatakan sama ada ia ada kaitan dengan krisis yang sedang berterusan di negeri barat Rakhine, Myanmar.
Sumber: Mynewshub