Paderi Didakwa Cabul Anak Angkat Lapan Tahun Serah Diri


PETALING JAYA - Seorang paderi menyerah diri kepada polis hari ini, susulan laporan mendakwa dia mencabul seorang gadis berusia 17 tahun di bawah jagaannya.

China Press melaporkan paderi berusia 49 tahun itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dengan ditemani ahli keluarganya pada jam 1.30 tengah hari tadi.

Akhbar itu melaporkan paderi berkenaan menjadikan mangsa yang merupakan anak seorang ahli perniagaan wanita dari China sebagai anak angkat lapan tahun lalu.

Menurut laporan itu, empat bulan selepas membawa mangsa pulang ke rumahnya, suspek mula menunjukkan belang dan didakwa mencabul mangsa hampir setiap hari, termasuk ketika beliau tidur.

Bagi mengelakkan perbuatannya terbongkar, paderi itu dikatakan mengugut mangsa dan tidak membenarkan gadis terbabit menemui ibunya secara bersendirian selama lapan tahun.

Malah, suspek didakwa memukul dan tidak memberi makanan kepada mangsa jika beliau melawan.

China Press melaporkan mangsa berjaya melarikan diri dari rumah suspek pada jam 7 pagi, 8 Oktober lalu dan mendapatkan bantuan ibu kandung serta Presiden Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia, Kuan Chee Heng, sebelum membuat laporan polis.

Sumber: Antarapos