Pakatan Harapan Perak Dihantui 'Pengundi Hantu' Ciptaan Sendiri


IPOH - Pembangkang disifatkan berada dalam keadaan terdesak apabila sanggup memainkan politik kotor dengan mendakwa wujud pengundi hantu di Perak, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

"Ini politik jahat, kita pun nak tahu juga 'hantu' mana yang ada dalam kotak dikatakan ada pengundi hantu itu.

"Kita nak tahu itu hantu pakatan (pembangkang) atau hantu diwujudkan Nga (Kor Ming) (Pengerusi DAP Perak) untuk menjadi pengundi hantu," katanya di Beruas semalam..

Sementara itu Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Saarani Mohamad  mencabar pemimpin pembangkang untuk membuktikan setiap nama yang dikaitkan sebagai pengundi hantu yang memihak kepada BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata pihaknya tidak gentar dengan kenyataan pemimpin pembangkang yang mahu membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

Beliau mendakwa Ketua Pembangkang yang juga Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin serta Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming, sengaja menimbulkan bantahan berhubung senarai 165,000 nama didakwa ada kaitan dengan pengundi hantu.

Katanya, malah mereka meminta pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutihkan senarai nama berkenaan dan sekiranya enggan berbuat demikian, pemimpin pembangkang mengugut mahu membuat laporan polis dan SPRM.

"Kor Ming dan (pemimpin) Pakatan Harapan silakan buat laporan polis dan SPRM kerana pada saya masa itu (tempoh bantahan) sudah tamat, dia sepatutnya membuat bantahan sebelum nama daftar pemilih sah diwartakan pada 30 Jun lalu.

"Dia (juga) kena buktikan setiap satu daripada 165,000 pengundi hantu yang didakwa, daripada nombor satu hingga ke-165,000, jangan main celup atau main semberono sahaja," katanya pada sidang media di Bangunan UMNO di Ipoh semalam.

Sebuah portal berita kelmarin melaporkan Mohammad Nizar yang juga Pengarah Pilihan Raya pakatan pembangkang negeri pada sidang medianya yang turut dihadiri Kor Ming di Wisma DAP di sini, memberi tempoh 24 jam untuk BN mengemukakan maaf kepada pakatan itu berhubung isu pengundi hantu, selain menyatakan kesediaan untuk membawa semua bukti berhubung wujudnya komplot pengundi hantu membabitkan BN untuk siasatan polis.

Saarani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri berkata, pemimpin pembangkang berkenaan perlu meminta maaf sekiranya mereka gagal membuktikan setiap nama yang didakwa pengundi hantu itu kerana tindakan itu cuba memanipulasi angka.

"Tolong buktikan daripada nombor satu hingga 165,000 adalah pengundi hantu seperti dimaksudkan, kalau tidak dia (Kor Ming) kena sahut cabaran saya untuk meminta maaf kepada dunia kerana menipu," katanya yang dipetik dari Berita Harian.

Isu 'pengundi hantu' akan muncul apabila hampir dengan setiap kali pilihan raya umum. Pada PRU13, parti pembangkang membuat cerita puluhan ribu warganegara Bangladesh dibawa oleh BN untuk mengundi. 

Peliknya pengundi hantu tidak pula 'muncul' di negeri yang dimenangi oleh pembangkang seperti di Pulau Pinang dan Selangor pada PRU lalu.

Kini pakatan pembangkang dihantui lagi dengan 'pengundi hantu' ciptaan mereka untuk menghadapi  PRU14. - Kedahnews.com