PAN Tak Perlu Nilai PAS, Kami Mahu Tanding Lebih Banyak Kerusi - TGHA


PARTI Amanah Negara (PAN) tentunya merasa 'cemburu' dengan sambutan ratusan ribu penyokong PAS yang hadir pada  himpunan Fastaqim 2.0, PAS di Kuala Nerus Terengganu.

Itu membuktikan PAS masih ada sokongan walaupun sebilangan besar pemimpin PAS meninggalkan parti dan menubuhkan PAN.

Jika PAS lemah, pastinya parti-parti daripada Pakatan Harapan tidak memberi tumpuan kepada parti Melayu kedua terbesar selepas UMNO itu.  

Mengambilkira sambutan itu, PAS akan bertanding lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang penutup himpunan itu malam tadi.

"PAS tidak pernah berganjak dengan perjuangan biarpun ada bekas pemimpin (PAS) terjun dengan labu-labunya.

Katanya juga PAS tidak pernah mati dalam perjuangan walaupun tewas dalam pilihan raya.

“Sedangkan parti-parti lain mati selepas kalah dalam pilihan raya. Kita juga memilih demokrasi berbanding kaedah lain bagi mengelakkan berlaku pertembungan dengan rakyat,” katanya.yang dipetik daripada Harakahdaily.

Terdahulu PAS mengingatkan pemimpin PAN agar tidak memperlecehkan parti itu hingga meragui kehadiran penyokong PAS pada program berkenaan.

Kata Hadi, parti  tidak memerlukan pandangan PAN untuk menilai penganjuran Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal di sini yang me­nyasarkan kehadiran 200,000 penyokong.

Hanya ahli Pas yang layak untuk berbuat demikian berhubung gesaannya agar ahli dan penyokong hadir dalam himpunan terbesar itu, kata Ahli Parlimen Marang itu.

“Terpulang kepada ahli PAS menilai saya, saya tidak perlu orang lain menilai saya. Ahli PAS terdiri  berbagai pihak bukan sahaja orang kampung tetapi juga profesional, ulama, pensyarah dan bukan Islam.

“Adakah mereka semua ini ditipu? Adakah 200,000 yang hadir ini kena tipu semua? Terpulang kepada mereka menilai sendiri,” katanya kepada pemberita sebelum itu pada majlis makan malam Dialog Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sempena Himpunan Fastaqim 2.0 di Kelab Golf Kuala Terengganu.

Abdul Hadi mengulas kenyata­an pemimpin PAN, Hanipa Maidin yang menyifatkan sebagai mengarut kerana menggesa seluruh ahli PAS hadir ke Himpunan Fastaqim 2.0.

Walaupun begitu, kehadiran ramai tidak boleh dijadikan ukuran pasti tentang sokongan sebenar  terhadap sesebuah parti politik tetapi Hadi berhak pertahankan keutuhan PAS ketika parti itu sedang diserang oleh DAP dan sekutunya PAN, PKR dan PPBM. - Kedahnews.com