Panjat Pokok Elak Diserang Harimau


TAMPIN – Tiga lelaki yang sedang memotong pokok leban untuk dijadikan kayu di tanah pinggir kebun di Kampung Sungai 2, Gemencheh, di sini, tengah hari kelmarin terkejut dengan kehadiran dua ekor harimau.

Salah seorang daripada mereka, Sareb Sariman, 45, berkata, ketika kejadian, dia dan dua rakannya baru setengah jam menyambung kerja-kerja memotong kayu dan secara tiba-tiba, seekor harimau separas pinggangnya keluar di sebelah kiri kawasan bersemak.

“Masa tu dalam jarak 100 meter dari kawasan kami bekerja. Ada seekor harimau di sebelah kanan dan seekor lagi di sebelah kiri. Yang kiri melompat keluar dan kami bertiga bertempiaran lari menyelamatkan diri.

“Kami berpecah selamatkan diri. Saya lari sejauh 200 meter ke kawasan berpaya dan panjat pokok kelapa sawit untuk elak jadi mangsa harimau,” katanya.

Sareb yang merupakan penjual lemang di Kampung Geduk berkata, dia berada di atas pokok kelapa sawit berkenaan selama 20 minit dan menghubungi penduduk berdekatan bagi memaklumkan kejadian dikejar binatang buas berkenaan.

Menurutnya, sejak kecil lagi dia sering mendengar cerita penduduk mengenai kehadiran harimau di Kampung Sungai 2, Tenai, Rokan dan kawasan berdekatan seperti di Bukit Jalor serta Asahan, Melaka, bagaimanapun tidak pernah terserempak dengan binatang berkenaan.

“Saya buat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kerana bimbang dengan keselamatan penduduk terutama  penoreh getah dan penduduk yang ada kebun di kawasan ini," katanya ketika menceritakan kejadian berkenaan kepada Sinar Harian di lokasi kejadian, semalam.

Turut serta, seorang penduduk, Suhaimizan Bizar, 34.


Sareb bagaimanapun menafikan  foto seekor harimau yang tersebar dalam laman sosial dengan mengaitkan kejadian dia terserempak harimau berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian mereka dalam keadaan ketakutan dan tidak masuk akal dapat mengambil gambar.

“Mana sempat kami nak tangkap gambar... baik kami lari selamatkan diri dulu,” katanya.

Tak sangka bau hamis harimau

Bagi seorang penoreh getah yang juga pesara tentera, Norsham Nordin, 60, dia tidak menyangka bau hamis yang dihidunya sejak pagi merupakan bau harimau.

Menurutnya, dia baru sahaja ingin berehat di rumah setelah pulang dari menoreh dan menerima panggilan telefon daripada Sareb.

“Sareb telefon dan terus tanya kebun saya ada harimau ke?  Saya terkejut dan terus bersiap mahu ke kebun semula. Tapi saya tak jadi masuk sebab bimbang dengan keselamatan saya dan tunggu bantuan sebenar tiba dahulu.

“Pagi kejadian, saya pun rasa pelik bila tiada langsung bunyi ayam hutan dan monyet. Mungkin binatang ini dah tahu ada harimau di sini," katanya.

Norsham berkata, dia ada terbau hamis, namun menyangka bau berkenaan datang daripada bau musang ataupun babi tunggal.

“Mungkin ada anak harimau semasa kejadian. Kalau tak, harimau ni tak kan kejar mangsa hanya separuh jalan sahaja,” katanya.

Perhilitan pantau lokasi aduan

“Pagi ni saya datang juga menoreh. Nak kata berani sangat tu tak la, tapi niat nak cari rezeki. Jika sebelum ni penduduk cerita nampak harimau di sini, saya sikit pun tak percaya. Tapi bila dah jadi macam ni, saya perlu lebih berhati-hati,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menemui sebarang jejak harimau di lokasi berkenaan berkemungkinan disebabkan faktor cuaca panas.

“Kalau hujan pasti kita boleh kesan jejak harimau ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya sedang memantau lokasi berkenaan sejak menerima laporan, namun masih belum menemui sebarang bukti kewujudan binatang berkenaan di lokasi dimaksudkan.

“Bagaimanapun, kita akan terus memantau lokasi berkenaan. Setakat ini, kita tidak menemui kesan jejak mahupun menemui binatang ternakan mati,” katanya.

Sumber: Sinar Harian