PAS Cabar Ambiga Tampil Nafikan Dakwaan Pengasas Sarawak Report


PENDEDAHAN Sarawak Report sebelum ini yang mendakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima dana politik daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM90 juta kini bertambah panas.

Teka-teki siapa yang menyalurkan maklumat kepada pengasas Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown terjawab apabila nama bekas Pengerusi Bersih, Datuk S.Ambiga disebut.

Brown menyatakan di sebuah mahkamah London bahawa Ambiga yang memberitahunya  mengenai Najib, PAS dan isu 1MBD kepadanya pada Julai tahun lalu. 

“Ambiga beritahu bahawa sumbernya itu boleh dipercayai dan menjangkakan jumlah yang telah dibayar sekitar RM90 juta,” kata Brown dalam dokumen mahkamah bertarikh 11 Oktober lalu. 

Dokumen mahkamah itu difailkan berhubung  saman fitnah Abdul Hadi terhadap Brown pada April lalu.

Dalam saman tersebut, Abdul Hadi mendakwa beliau telah difitnah dalam rencana Sarawak Report bertajuk As Najib denies all over 1MDB let’s not forget his many other criminal connectio bertarikh 6 Ogos, 2016. 

Sementara itu PAS hari ini mendesak bekas Presiden Majlis Peguam itu (Ambiga) mengakui peranannya sebagai sumber menyalurkan maklumat kepada editor Sarawak Report itu

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali yang dipetik daripada Harakahdally berkata tindakan segera perlu diambil Ambiga, sama ada mengakui atau menafikan penglibatannya penting kerana ia melibatkan imej PAS. 

Semalam -Brown menamakan Ambiga sebagai sebahagian daripada pembelannya dalam saman oleh Presiden PAS.

Kononnya Ambiga memberitahu bahawa PAS dan Najib mempunyai hubungan yang akrab, malah mendakwa wujudnya persetujuan kewangan antara kedua-dua pihak berkenaan. 

"Ambiga kena respon, dalam penyata Brown, sumbernya adalah Ambiga sahaja dari 'hearsay', sedangkan sebelum ini PAS telah dizalimi dengan fitnah begitu besar, ia merosakkan imej. 

"Jadi Ambiga sebagai peguam kena respon segera, dimana sumber Ambiga, adakah ia suatu andaian ataupun ada sumber yang tepat," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Rakyat, pagi tadi. 

Bukan itu sahaja Brown juga memberitahu mahkamah yang Najib didakwa memindahkan wang berjumlah lebih RM200 juta kepada bekas timbalan presiden PAS, Datuk Nasharudin Mat Isa sejak 2014. 

Kononnya wang itu dikatakan digunakan untuk membiayai sebuah kumpulan dalam PAS.

Bagaimanapun Nasharudin pada April lalu menafikan ada menerima wang daripada Najib dan mengancam untuk memfailkan saman terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kerana membuat dakwaan sedemikian.
Editor Sarawak Report itu sebelum ini dikaitkan terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan Najib yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dan menerima dana daripada bekas perdana menteri itu. 
Rewcastle-Brown bagaimanapun menafikan kedua-dua dakwaan itu. 

Seorang lagi pemimpin PAS, yang juga Naib Presiden parti, Idris Ahmad senada dengan pendirian Khairuddin. 

"Dia patut minta maaf sebagai peguam yang perjuangkan integriti, soal kebenaran yang perjuangkan pilihan raya yang bersih, jadi tak betul. 

"Kredibiliti Sarawak Report juga boleh dipersoalkan, apa fungsinya, tujuan buat berita begitu. - Kedahnews.com