PAS Dakwa Pemimpin DAP Juga Berminat Jawatan Menteri Besar


SELAIN mengejar jawatan Perdana Menteri, kepemimpinan DAP juga didakwa berminat untuk menduduki kerusi Menteri Besar di beberapa negeri jika gabungan pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Hasrat itu bersandarkan keyakinan DAP bahawa parti yang mendukung agenda sosialis dan cauvinis itu mampu memenangi paling banyak kerusi dalam kalangan parti sekutu gabungan pakatan pembangkang.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, berkata memang wujud hasrat yang kuat bagi DAP untuk menjadikan pemimpin utama mereka sebagai Perdana Menteri berdasarkan kemungkinan besar parti itu memenangi paling banyak kerusi pada PRU-14 berbanding PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN).

"Saya juga yakin mereka mempunyai hasrat yang sama untuk menjadikan pemimpin mereka sebagai Menteri Besar di beberapa negeri.

"Bagi menghalang kerakusan DAP, pengundi khususnya pengundi Islam mestilah menghalang kemenangan gabungan pakatan pembangkang diterajui DAP dengan tidak mengundi mereka. Hanya dengan konsensus bersama pengundi Islam untuk tidak mengundi calon mereka, maka negara dapat diselamatkan daripada diketuai `Dinasti Lim'," katanya.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy sebelum ini menganggap Lim Kit Siang sebagai calon paling layak untuk menduduki jawatan Perdana Menteri, berbanding pemimpin parti politik lain, sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang.

Menerusi artikel disiarkan dalam akaun Facebooknya, Timbalan Setiausaha Agung DAP itu menganggap Kit Siang 'orang paling merendah diri' berbanding pemimpin DAP lain.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata kenyataan Ramasamy yang senada dengan ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim membuktikan DAP sebuah parti yang bernafsu besar untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Beliau berkata, pemimpin dan ahli DAP semakin berani dan lantang menyuarakan hasrat mereka tanpa segan silu terhadap rakan sekutu, PPBM, PKR dan PAN dalam gabungan pakatan pembangkang.

Katanya, keberanian itu juga sebagai menguji protes dari rakan sekutu dan jika pihak berkenaan berdiam diri maka DAP akan lebih agresif dan ke depan terutama untuk mendapat sokongan pengundi Cina.

"Kenyataan itu juga membuktikan gabungan pakatan pembangkang tidak sepakat dalam memutuskan siapa akan jadi Perdana Menteri. Ia jelas menunjukkan pada zahirnya mereka dilihat bersatu tetapi berpecah di peringkat dalaman.

"DAP terbukti mahu mendominasi gabungan pakatan pembangkang. Mereka makin berani kerana kepimpinan PPBM dan PKR lemah dan menjadi pak turut DAP," katanya.

Sumber: BH