PAS Juga Sedar Pentingnya BR1M....


Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa Bajet 2018 'gagal' kerana jumlah bayaran Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dberi pada kadar yang sama seperti tahun ini.

Menurut Tuan Ibrahim sekiranya negara semakin makmur, sepatutnya jumlah keluarga atau individu yang layak menerima BR1M akan berkurang kerana pendapatan mereka bertambah.

Pengekalan peruntukan BR1M menandakan kegagalan kerajaan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah, kata Tuan Ibrahim mengulas Bajet 2018 di Harakahdaily hari ini.

Seperti juga parti pembangkang yang lain, PAS juga amat prihatin tentang bantuan kepada rakyat seperti BR1M yang pada awalnya dianggap 'dedak' daripada kerajaan kepada rakyat.

Malah Tun Dr. Mahathir Mohamad pada awalnya menganggap bantuan itu sebagai 'rasuah' dan 'haram' diterima oleh rakyat, namun parti yang diterajui kembali menyokong bantuan langsung itu.

Menjelang PRU14, Pakatan Harapan dan PAS sedar BR1M amat perlu untuk rakyat dan ia akan terus dipolitikkan untuk kepentingan politik sedangkan program bantuan itu dirangka khas oleh kerajaan untuk rakyat berpendapatan rendah tanpa mengira kaum dan fahaman politik.

Walaupun bayaran BR1M dikekalkan dan tiada tambahan, kerajaan melalui Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu memperuntukkan banyak bantuan baharu  kepada golongan sasar selain pengecualian cukai pendapatan dan pemberian subsidi serta pengecualian GST terhadap barang dan servis tertentu.  

Perdana Menteri dalam ucapan belanjawan tahun depan itu menjelaskan sejak BR1M diperkenalkan, terbukti rakyat teramai menerimanya dengan senang hati dan rasa syukur. 

Jelas sekali, BR1M merupakan suatu bentuk subsidi bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukannya, terbukti keberkesanannya, kata Perdana Menteri.

"Hatta, pihak pembangkang yang begitu negatif terhadap inisiatif ini dan menuduh sebagai "dedak" itu dan "umpan" ini, tapi kini tanpa segan silu membuat "u-turn" dan khabarnya Kerajaan Pulau Pinang sendiri telah akur akan benarnya program BR1M oleh kerajaan ini, ' kata Najib.

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri,  jika BR1M tahun ini telah memanfaatkan tujuh juta penerima dengan peruntukan RM6.8 bilion maka bagi tahun 2018, bilngan penerima itu akan terus menikmati pemberian ini, dengan kadar maksimum sehingga RM1,200.

Selain BR1M, kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan pendapatan isi rumah serta merapatkan jurang pendapatan di Malaysia.

Pada Bajet 2018 itu, Perdana Menteri mengumumkan satu lagi khabar gembira kepada setiap 2.3 juta pembayar cukai yang akan dinikmati terutamanya oleh golongan pendapatan pertengahan yakni M40, atau lebih khusus, isi rumah berpendapatan RM9,000 ke bawah.

Kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara RM20,000 hingga RM70,000.

Bagi yang berpendapatan bercukai daripada RM20,001sehingga RM35,000  kadarnya diturunkan daripada 5 peratus kepada 3 peratus sementara pendapatan bercukai daripada RM35,001 sehingga RM50,000  pula, kadarnya diturunkan daripada 10 peratus kepada 8 peratus.

Sementara banjaran pendapatan bercukai daripada RM50,001 sehingga RM70,000  kadarnya diturunkan daripada 16 peratus kepada 14 peratus.

Langkah ini akan meningkatkan pendapatan rakyat antara RM300 sehingga RM1,000 dan dianggarkan sejumlah RM1.5 bilion lebihan pendapatan  dapat dibelanjakan oleh rakyat.
Lebih 261,000 orang kini tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan ini.

Menurut Najib bajet kali ini masih memperuntukkan RM3.9 bilion subsidi barangan dan pengangkutan, termasuk gas memasak, tepung, minyak masak, subsidi elektrik dan tol.

Selain mengekalkan bantuan kepada penoreh getah dan nelayan  buat pertama kalinya Perdana Menteri mengumumkan bantuan sebanyak RM200  sebulan kepada pesawah bagi tempoh tiga bulan sementara menunggu hasil tuaian padi.

Hampir RM150 juta diperuntukkan untuk bantuan itu yang akan dibayar mulai Januari tahun depan.

Buat pertama kali dalam sejarah, Najib berkata peruntukan paling besar RM6.5 bilion kepada kelompok pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah  yang antaranya RM2.3 bilion bagi bantuan dan insentif seperti baja dan input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil getah dan nelayan. - Kedahnews.com