PAS, PAN Siap Sedia "Bertempur" Di Kedah


ALOR SETAR - PAS dan Parti Amanah Negara (PAN) siap sedia untuk 'bertempur"  bagi menawan Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Ketika berlangsungnya Konvensyen Nasional 2017 oleh PAN selama tiga hari pada 20 hingga 22 Oktober di Alor Setar, PAS mengumumkan akan mengadakan Himpunan 12,000 (H12K) di Kompleks PAS Kedah pada 28 Oktober ini.

Program PAS itu akan menghimpunkan 12,000 petugas jentera parti itu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata ia merupakan perhimpunan kedua terbesar yang diadakan selepas Muktamar PAS 2017 lalu.

"Ia juga merupakan peluang untuk memberi suntikan semangat kepada petugas jentera untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan parti itu dalam pilihan raya umum," katanya pada sidang media di Kompleks PAS Kedah di sini semalam.

Dalam masa yang sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad turut  mengadakan jelajah bagi menarik sokongan pengundi.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan telah mengumumkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz bagi mengetuai pakatan di negeri Kedah. 

PAS sebelum ini telah meungumumkan untuk bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 kawasan Parlimen di negeri Kedah pada PRU14.

Sementara Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula bercadang untuk bertanding 16 kerusi DUN,  menambah enam kerusi lagi berbanding 10 kerusi DUN yang ditanding pada PRU13.

DAP pula pula bercadang mahu menambah dua kawasan DUN  lagi pada PRU 14, iaitu Gurun dan Kulim, tetapi dibantah oleh PKR kerana kerusi itu adalah miliknya walaupun kalah.

Setakat ini PAN dan PPBM, dua parti baharu belum 'mengiytiharkan' jumlah kerusi yang hendak ditandingi secara rasmi di Kedah. - Kedahnews.com