PAS Sambut Baik Diskaun Bayar Balik Pinjaman PTPTN




PAS menyambut baik keputusan kerajaan untuk memberi diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN yang dianjutkan sehingga 31 Disember 2018.

Semasa membentangkan Bajet 2018 Jumaat lepas, Perdana Menteri mengumumkan potongan 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman dan 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

Selain itu potongan 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau direct debit mengikut jadual.

Najib dalam ucapan bajet itu  menjelaskan PTPTN diwujud bagi menguruskan pinjaman untuk anak-anak Malaysia untuk memibayai mereka melanjutkan pengajian pendidikan tinggi.

"Dalam bab PTPTN ini, semua kena faham,... seperti mafhum dalam hadis, hutang tetap hutang dan wajib dibayar, " kata Perdana Menteri.

Dalam hal  PTPTN itu juga, Perdana Menteri berharap perkara itu tidak dipolitikkan oleh pembangkang dan peminjam perlu bertanggungjawab membayar balik, kerana generasi kini dan akan datang turut memerlukannya.

Pada Bajet 2018 itu Perdana Menteri juga mengumumkan kelonggaran tambahan PTPTN seperti untuk pelajar dari keluarga B40 yang mengikuti kursus untuk pekerjaan pasaran tinggi dan peruntukan RM200 juta  ditambah untuk menaikkan jumlah pinjaman maksimum mereka.

Katanya, tempoh  pembayaran balik pinjaman dilanjutkan kepada 12 bulan setelah tamat pengajian, berbanding enam bulan pada masa ini.

Kepada para peminjam yang ingin menyambung pengajian ke peringkat seterusnya, sebagai contoh diploma ke ijazah sarjana muda, mereka boleh menggabungkan pinjaman diploma dan ijazah sebagai satu pinjaman, dan hanya perlu membuat bayaran balik selepas tamat pengajian di peringkat ijazah itu.

"Pelbagai ruang telah kerajaan berikan,... kalau tak bayar juga, tak tahu lah apa yang kita nak ucapkan lagi,..." kata Perdana Menteri.

Selain itu kata Najib bagi menggalakkan budaya menabung untuk pendidikan, RM250 juta  disediakan kepada setengah juta pencarum berumur 7 hingga 12 tahun dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional yang dijenamakan semula sebagai Skim Simpanan Pendidikan 1Malaysia atau SSP1M, kelolaan PTPTN.

Semalan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang dipetik dalam Harakahdaily berkata  PAS menerima baik kelonggaran yang diberikan oleh PTPTN ini. 

Bagaimanapun beliau menyifatkan  ianya 'satu pengakuan tidak rasmi' kerajaan bahawa ramai graduan yang tidak berkemampuan untuk menjelaskan hutang. 

"Apakah ia kerana sikap ataupun sebenarnya disebabkan kurangnya peluang pekerjaan untuk para graduan ataupun kenaikan kos sara hidup yang menyebabkan para graduan tidak mempunyai lebihan duit untuk membayar balik pinjaman PTPTN? tanya Tuan Ibrahim.

Sementara itu, kata Tuan Ibrahim lagi,  PAS juga menyifatkan penghapusan tol di empat lokasi oleh kerajaan adalah tindakan yang wajar.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim masih meragui "tawaran' kerajaan dalam Bajiet 2018 itu bagi menghadapi PRU ke-14 ini kerana PAS khuatir ianya hanyalah 'umpan' yang akan menambah bebanan rakyat sekiranya BN terus kekal memerintah. - Kedahnews.com