PAS Takkan Menang Walau Bertanding 100 Kali, Kata Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menyertai himpunan Bersih 5.0. Mahathir mengecam keras kesemua himpunan Bersih sebelum keluar dari UMNO.
ALOR SETAR - Bagaikan tahu apa yang akan berlaku terhadap nasib dan masa depan PAS, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa parti itu tidak akan berjaya menguasai Putrajaya walau bertanding 100 kali.

Malah bekas Perdana Menteri itu menuduh bahawa PAS sebenarnya hanya akan mengurangkan jumlah orang Islam di dalam parti yang mentadbir negara.

"PAS tidak mungkin menang untuk mendirikan kerajaan di peringkat pusat walaupun ia bertanding seratus kali.

"Sebaliknya PAS tetap mengurangkan jumlah orang Islam dalam parti pemerintah," tulis Mahathir, meneruskan serangan terhadap PAS menerusi blognya.

Beliau sebelum itu menuduh PAS sebagai sebuah parti yang langsung tidak memberi apa-apa sumbangan terhadap bangsa Melayu dan agama Islam di negara ini sejak parti tersebut ditubuhkan puluhan tahun yang lalu.

Lebih menarik, Pengerusi PPBM yang kini bersekongkol rapat dengan DAP mendakwa kemenangan PAS di Kelantan memberi kesan buruk terhadap negeri yang terkenal dengan gelaran "Serambi Mekah" itu.

Malah beliau berkata, kemenangan PAS di negeri itu juga dianggap sebagai mencacatkan imej Islam.

"Kemenangan PAS di Kelantan hanya membawa nasib buruk kepada negeri itu. Ia juga mencemarkan imej Islam di Malaysia," tulisnya lagi.

Perkembangan di peringkat akar umbi di Kedah menyaksikan ramai ahli dan penyokong PAS terpengaruh dengan dakwaan Mahathir, sekaligus membawa mereka menyokong Pakatan Harapan di beberapa kawasan.

Selain itu mereka juga dikatakan percaya dengan dakyah propaganda pakatan yang dikuasai DAP itu yang mendakwa PAS kini kononnya menjalin kerjasama dengan UMNO meskipun tuduhan tersebut beberapa kali dinafikan kepimpinan PAS dan UMNO.

Turut difahamkan bahawa PAS berkemungkinan kurang menjadi pilihan rakyat di Kedah sekiranya kepimpinan parti itu terus alpa dan tidak berbuat apa-apa untuk menangkis dakyah porpaganda Pakatan Harapan. - Kedahnews.com