Walaupun unjuran ini agak sedikit optimistik, namun ianya masih konservatif berbanding unjuran-unjuran yang dilakukan oleh pihak-pihak lain.
Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat telah membuat analisis bagi mengunjurkan keadaaan pasaran dan jangkaan pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2017 menjelang pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Malaysia pada 27 Oktober 2017 nanti.
Kedudukan ekonomi Malaysia yang lebih poisitif itu tentulah bercanggah dengan ramalan parti parti pembangkang lain yang meramalkan ekonomi Malaysia akan merosot walaupun Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih baik pada 2017 dan 2018 didorong oleh pemulihan harga minyak dan eksport.
Ketua Ekonomi bagi Asia Timur dan Pasifik, Sudhir Shetty sebelum ini menyebut, pemulihan itu disebabkan oleh peningkatan harga minyak tetapi kadar pertumbuhannya tidak sama seperti direkodkan pada 2014.
Katanya, Bank Dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2017 dan 2018 berupaya mencapai kadar melebihi paras empat peratus seperti yang disasarkan.
Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat, Mazli Noor berkata unjuran itu berdasarkan penelitian yang dilakukan terhadap laporan-laporan para firma kajian dan agensi-agensi tempatan dan antarabangsa.
Antaranya oleh Standard Chartered Global Research yang mengunjurkan pertumbuhan 5.4%, sepertimana yang dilaporkan oleh harian The Edge pada 27 September 2017. Manakala UOB Global Economics & Market Research mengunjurkan pertumbuhan 5.2% (The Edge, 3 Oktober 2017).
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula menjangkakan ekonomi Malaysia tumbuh dalam kecenderungan menaik pada 4.8% manakala Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pula mengunjurkan pertumbuhan pada 4.8%, sebagaimana laporan mereka pada 26 Julai 2017.
Unjuran pada tahap lebih 5% ini adalah berdasarkan beberapa faktor yang telah dianalisa. Antaranya adalah faktor nilai Ringgit yang dilihat semakin stabil berbanding dolar Amerika (USD).
Katanya, mengikut laporan MIER Ringgit telah mengukuh sepanjang tahun 2017 sehingga bulan Mei sebanyak 4.9%. Ini disokong oleh tindakan oleh Bank Negara Malaysia bagi menyokong nilai Ringgit antaranya keperluan baharu kepada semua pengekspot bahawa 75% daripada hasil
pendapatan mereka harus disimpan dalam matawang ringgit.
Pada tahap nilai ringgit sekarang dan suasana ekonomi semasa, kami berpandangan ianya adalah dalam julat optimum bagi mengimbangi dagangan Malaysia. Pada kadar semasa sepanjang Oktober 2017, ringgit didagangkan dalam julat RM4.22-4.24 berbanding USD.
Faktor kedua adalah sektor pembinaan yang dijangka akan kekal tumbuh sehingga akhir tahun 2017. Dalam laporan suku ke-2 yang lalu, sektor pembinaan tumbuh pada 8.3%, yang mana merupakan penyumbang utama prestasi ekonomi Malaysia untuk tempoh sama.
" Oleh kerana ini merupakan tempoh untuk menghadapi pilihanraya umum ke 14 (PRU14) maka kami menjangkakan sektor pembinaan terus berkembang pada julat kadar sekarang sehingga sekurang-kurangnya suku pertama 2018.
Kerajaan akan menggunakan tempoh ini bagi memenuhi janji-janji pilihanraya, yang penting untuk mengekalkan kemenangan kerajaan Barisan Nasional dalam PRU14 nanti", katanya dalam kenyataan yang siiarkan dalam Harakah Daily hari ini.
Faktor ketiga yang juga mampu menyokong pertumbuhan lebih 5% Malaysia adalah penggunaan domestik.
Sektor perkhidmatan itu kekal sebagai antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi Malaysia. Bagi tahun 2016 ianya tumbuh pada kadar 6%. Untuk tahun ini MIER menjangkakan penggunaan domestik akan tumbuh pada 4.6%, kata Mazli lagi.- Kedahnews.com