ALOR SETAR - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)untuk kali ketiga mengendalikan sebuah lagi pasar tani baharu yang bertempat di Taman Lembah Bujang Utama, Merbok.
Penaung Persatuan Kebajikan Peserta Pasar Tani Daerah Kuala Muda, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, pasar tani tersebut bakal beroperasi pada 28 Oktober akan datang.
Diharapkan dengan pembukaan pasar tani berkenaan dapat memberi manfaat kepada ribuan penduduk di kawasan taman perumahan dan perkampungan berhampiran taman itu.
"Setakat ini terdapat dua pasar tani iaitu pekan Sungai Petani berhampiran stesen bas lama dan sebuah lagi di Bandar Puteri Jaya, manakala pasar tani baharu ini merupakan yang pertama di kawasan Parlimen Merbok."
"Sama seperti pasar tani lain, pembukaan Pasar Tani Taman Lembah Bujang Utama ini akan turut menawarkan barangan harian yang segar pada harga berpatutan untuk penduduk setempat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengedarkan kira-kira 1,000 bekas Bubur Assyura kepada peserta dan pengunjung Pasar Tani Sungai Petani, sempena sambutan Maal Hijrah, di Sungai Petani, semalam.
Menurut Shahanim, pihak mereka mensasarkan seramai 60 peserta yang akan menyertai Pasar Tani Taman Lembah Bujang Utama.
Difahamkan bahawa hari perasmian tersebut akan disertai oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri.
"Sejak beroperasi pada 2015, Pasar Tani Bandar Puteri Jaya mendapat sambutan menggalakkan, dan kita harap pembukaan pasar tani baharu ini juga akan mendapat sambutan daripada bukan hanya peniaga tetapi juga masyarakat setempat," katanya. - Kedahnews.com