Pelajar Tahfiz Tunai Umrah, Hadiah Hari Lahir DSV


PERTENGAHAN bulan lalu, Malaysia telah dikejutkan dengan satu berita yang menyayat hati apabila sebuah pusat tahfiz di ibu negara dijilat api pada awal pagi.

Ekoran kejadian itu, ramai yang sudi menghulurkan bantuan termasuk pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali dengan nama Datuk Seri Vida (DSV).

Terdahulu, beliau berhasrat untuk membiayai kesemua pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terselamat untuk menunaikan umrah bersama-sama dengannya.

Namun, disebabkan masalah visa, pelajar tahfiz tersebut tidak dapat pergi bersama Vida pada 14 Oktober lalu.

Bagaimanapun, 19 orang termasuk tiga guru pengiring akhirny telah berjaya berlepas ke Makkah semalam untuk menunaikan ibadah tersebut.

Menurut Vida, hasratnya untuk membiayai segala perbelanjaan pelajar serta guru tersebut bagi memulihkan semangat dan mengubati trauma dan tekanan berikutan tragedi yang telah memusnahkan tingkat tiga bangunan tahfiz tersebut.

“Hari ini (26 Oktober) adalah hari kelahiran saya dan tajaan mengerjakan umrah ini adalah hadiah terbesar diberi kepada pelajar, semoga mereka mendoakan kesejahteraan serta kejayaan dalam pelbagai bidang pada masa hadapan,” katanya.

Sumber - BH Online.