Pelajar Tingkatan 3 Dari Langkawi Teruja Dapat Proton Saga


LANGKAWI - Seorang pelajar wanita berusia 15 tahun dan ibu tunggal berusia 63 tahun tidak dapat menyembunyikan kegembiraan dan teruja ketika masing-masing membawa pulang sebuah kereta Proton Saga 1.3 Standard CVT berharga RM37,900, semalam.

Nur Ameira Afini Suhaimi, 15, dan Zaiton Darus, 63, memenangi kereta itu menerusi cabutan bertuah sempena Majlis Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Pelancaran Perumahan Program Perumahan Rakyat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) pada 19 Ogos lalu.

Majlis penyerahan kedua-dua kereta itu disempurnakan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad pada majlis ringkas di Proton Edar Langkawi di Jalan Padang Gaung, di sini.

Nur Ameira Afini, yang juga pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra, di sini, berkata, dia tidak menyangka tuah menyebelahinya selepas menghadiri program terbabit bersama lebih 30,000 pengunjung lain pada program julung kali anjuran UMNO Bahagian Langkawi itu.

“Mungkin kereta ini sudah menjadi rezeki saya kerana sebelum ini saya tidak pernah memenangi apa-apa cabutan bertuah dan ketika mengisi borang saya juga tidak menaruh harapan yang tinggi kerana jumlah penyertaan terlalu ramai.

“Cuma ketika nak bergerak ke tempat program bersama rakan...ibu ada bergurau dengan katanya...alang-alang kakak dah pergi tu bawa baliklah sesuatu kerana hadiah disediakan penganjur banyak,” katanya ketika ditemui pada majlis itu, semalam.

Nur Ameira Afini yang baharu selesai menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) Khamis lalu, berkata, kereta itu diberikan kepada ayah dan ibu untuk kegunaan harian kerana dia belum memiliki lesen memandu.

Pada majlis itu, anak sulung daripada tiga beradik yang ditemani bapanya, Suhaimi Shahudin, 40, dan dua adiknya, Nur Dayini Afza, tujuh tahun serta Nur Diniy Afrina, 13, beberapa kali mengucapkan syukur atas rezeki yang diterimanya.

Sementara itu, Zaiton yang menetap di Kampung Bohor Tempoyak di sini, berkata, tindakannya mahu menunggu sehingga ke hujung majlis membawa tuah walaupun pada masa sama anak-anak dan cucu-cucunya berkeras mengajaknya pulang kerana waktu sudah lewat.

“Tiba-tiba nombor kad pengenalan makcik diumumkan pengacara majlis sebagai pemenang cabutan (bertuah) kereta... tak tau nak cakap apa... memang gembira sangat kerana sebelum itu pengacara ada panggil lebih 20 nama pemenang tapi mereka tiada dalam dewan menyebabkan penyertaan mereka dibatalkan.

“Sehingga kini, mak cik belum ada lesen memandu kerana selalu tumpang kereta anak-anak dan selepas menang kereta ini pasti akan mendaftar belajar di sekolah memandu bagi memiliki lesen,” katanya, semalam.

Sumber: MyMetro