KUALA LUMPUR - Pelakon Amyra Rosli selamat melahirkan bayi lelaki sekitar pukul 12.07 tengah hari di Prince Court Medical Centre (PCMC) semalam.
Ibu pelakon filem Isteri Tuan Ihsan itu Noor Zaridah Ahmad berkata, anaknya itu bersalin secara normal dan keadaannya baik walaupun masih lemah.
“Sepatutnya kalau diikutkan dia (Amyra) bersalin pada tanggal 25 Oktober namun bersalin juga semalam.
“Keadaan dia sekarang okey. Alhamdulillah, yang penting ibu dan anak berada dalam keadaan yang sihat,’ ujar Noor Zaridah.
Dalam pada itu, Amyra menerusi laman Instagram miliknya turut berkongsi sekeping gambar yang menunjukkan dia sudah selamat melahirkan anak sulungnya itu.
“Aku mohon perlindungan untuk mu wahai anakku yang baru lahir, dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari kejahatan syaitan, binatang-binatang berbisa dan dari kejahatan yang menakutkan.
“Terima kasih semua atas doa yang tidak henti-henti buat kami,” tulisnya.
Amyra dan suami, Amar Baharin bernikah pada 11 November tahun lalu dalam sebuah majlis yang diadakan di Hotel Premiera, Kuala Lumpur.
Sumber: Kosmo