Pelampau Islam Bangladesh Mahu Rohingya Dibekal Senjata


CHITTAGONG - Ribuan penunjuk perasaan pelampau Islam berarak di bandar pelabuhan Bangladesh di sini, semalam untuk menggesa kerajaan negara mereka membekalkan senjata kepada pelarian Muslim Rohingya yang melarikan diri daripada kekejaman kerajaan Myanmar di Rakhine.

Lebih setengah juta etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, sejak serangan pemberontak Muslim Rohingya ke atas beberapa pos kawalan polis mencetuskan tindak balas kejam tentera Myanmar.

Mereka mendakwa tentera Myanmar bersama penduduk etnik Rakhine menyembelih dan membakar banyak perkampungan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkan operasi itu sebagai pembersihan etnik, namun tentera Myanmar menyalahkan pemberontak Rohingya.

Polis berkata, kira-kira 15,000 orang menyertai tunjuk perasaan di bandar kedua terbesar di Bangladesh itu yang dianjurkan kumpulan pelampau Islam Hefazat-e-Islam sebagai bantahan terhadap pembunuhan Rohingya.

"Kami menuntut pembunuhan beramai-ramai Rohingya dihentikan. Kami mahu kerajaan melatih dan memberikan senjata kepada Rohingya supaya mereka boleh membebaskan tanah air mereka," kata jurucakap Hefazat, Azizul Hoque Islamabad. - AFP