Pelantikan Ku Jaafar Satu Penghormatan Kepada Malaysia


ISTANBUL - Pelantikan Datuk Ku Jaafar Ku Shaari sebagai Setiausaha Agung Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) yang baharu bukan sahaja menjadi sejarah kepada kumpulan kerjasama ekonomi itu tetapi juga bukti penghormatan dan pengiktirafan negara anggota terhadap sumbangan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemilihan bekas duta Malaysia ke Mesir, Brunei dan Qatar itu menyaksikan buat pertama kali D-8 memilih seorang ahli diplomat yang berpengalaman luas sebagai setiausaha agungnya.

"(Melalui pelantikan ini) tentunya mereka mempunyai unjuran yang amat tinggi terhadap Ku Jaafar, bukan hanya atas pengalaman beliau tetapi (terhadap) Malaysia juga diletakkan harapan untuk bersama-sama negara anggota D-8 lain memacu enam bidang utama yang menjadi fokus pertubuhan selama ini," katanya kepada kumpulan media Malaysia sejurus tiba di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid berada di sini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak D-8 bermula Jumaat yang bakal menyaksikan beliau menyampaikan kenyataan negara semasa sidang kemuncak itu.

Ku Jaafar yang akan memulakan tugasnya pada 1 Jan 2018 bagi tempoh empat tahun, bakal menggantikan Dr Seyed Ali Mohammad Mousavi yang telah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung D-8 sejak 2014.

Menyentuh mengenai sidang kemuncak D-8 itu, Ahmad Zahid yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata beliau akan menggunakan peluang tersebut untuk bertukar pandangan dan meningkatkan hubungan kerjasama ekonomi sedia ada serta meneroka peluang kerjasama baharu.

Katanya enam bidang utama yang telah dikenal pasti dan untuk ditingkatkan kerjasama dalam kalangan negara anggota ialah industri serta perusahaan kecil dan sederhana; pertanian dan keselamatan makanan; pengangkutan; tenaga; mineral dan pelancongan.

"Ketika sidang kemuncak ini, negara-negara D-8 dijangka menghasilkan dua dokumen iaitu Deklarasi Istanbul yang mencerminkan komitmen pemimpin daripada semua negara anggota terhadap setiap agenda dan usaha sama di bawah rangka kerja D-8 serta Pelan Tindakan D-8 Pasca 2017," katanya.,

Bertemakan 'Mengembangkan Peluang Menerusi Kerjasama', sidang kemuncak kali ini juga adalah bersempena ulang tahun ke-20 perkumpulan itu yang ditubuhkan pada 1997.

D-8 ditubuhkan pada 15 Jun 1997 di Istanbul, Turki sebagai mekanisme untuk kerjasama dalam sektor ekonomi lapan negara membangun terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata pada sidang kemuncak tersebut, beliau juga akan membangkitkan isu etnik Rohingya yang kini ditindas hingga terpaksa menjadi pelarian di Bangladesh bagi mendapatkan sokongan daripada negara-negara D-8 untuk terus membantu mereka..

Katanya Malaysia yang begitu konsisten dalam isu pelarian Rohingya seperti yang ditegaskan pada beberapa pentas antarabangsa termasuk oleh Najib ketika bertemu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bulan lepas, akan terus mendesak Myanmar untuk mengambil tanggungjawab menangani isu tersebut seperti yang disarankan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Antonio Guterres.

Ahmad Zahid berkata beliau juga akan mengambil peluang untuk berkongsi pengalamannya ketika melawat ke Kem Pelarian Rohingya di Kutupalong, Cox's Bazar, Bangladesh pada awal minggu ini.

Selaku pemimpin kanan utama sebuah negara yang pertama pernah melawat kem pelarian itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berpandangan isu Rohingya perlu disentuh pada forum ekonomi tersebut kerana "ia perkara yang tidak dapat dielakkan" .

Ahmad Zahid yang diiringi isteri Datin Seri Hamidah Khamis tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk di sini pada 9 malam waktu tempatan sebelum dibawa ke hotel penginapan dan disambut oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Duta Malaysia ke Turki Abdul Razak Abdul Wahab serta pegawai-pegawai Malaysia.- BERNAMA