JITRA - Kedah khususnya, menyimpan 1001 sejarah bukan sahaja dari segi kesultanannya, malah kesan-kesan peninggalan ketika tercetusnya Perang Dunia Kedua pada 1939 tidak harus dilupakan begitu sahaja.
Ketua Biro Kaji Selidik Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Dr Mohd Kasri Saidon berkata, ketika peperangan dunia kedua, seluruh Asia Tenggara kecuali Thailand berhadapan dengan suasana perang.
Menurutnya, Kedah mencatatkan peristiwa penting apabila menjadi sempadan awal untuk British berhadapan dengan tentera Jepun.
“Pendaratan tentera Jepun ketika itu berlaku dalam dua keadaan. Pertamanya mereka mendarat dengan kapal di Kuala Pak Amat di Kota Bharu dan menyusup masuk melalui jalan darat setelah mendarat di Songkhla, Thailand.
“Kesannya, Kedah menghadapi peperangan apabila berperanan sebagai benteng utama dalam mempertahankan seluruh Malaya ketika itu,” katanya ketika merungkai kembali lipatan sejarah Kedah.
Ada puluhan kubu milik British
Mohd Kasri yang juga Ahli Akademik Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, pertahanan Kedah ketika itu dikawal oleh Indian Briged dan juga tentera Britisih.
“Persediaan awal sememangnya sudah dibuat British dengan menyediakan kubu pertahanan yang wujud di seluruh Tanah Melayu dan negeri ini terutama dalam cubaan mempertahankan Alor Setar dan lapangan terbang.
“Di Kubang Pasu sendiri, terdapat puluhan kubu milik British yang dibina untuk menentang kemaraan Jepun. Kubu ini yang dibina oleh jurutera diraja ketika itu begitu kukuh strukturnya.
“Sehinggakan pada hari ini, kubu-kubu berkenaan masih kukuh walaupun dalam peredaran masa dan cuaca,” katanya.
Pertempuran Jitra
Mohd Kasri berkata, antara peperangan yang menarik dan meninggalkan sejarah tersendiri di Kubang Pasu ini adalah Pertempuran Jitra.
“Pertempuran Jitra berlaku pada musim tengkujuh iaitu pada 11 dan 12 Disember 1941 di kawasan Jitra yang mana melibatkan pasukan British dari 11 Divisyen India di bawah pimpinan Mejar Jeneral David Murray-Lyon.
“Medan serangan tempur yang utama berlaku di selatan Changlun membawa sehingga ke pekan Jitra," katanya.
Katanya, musim tengkujuh ketika itu menyebabkan sebahagian kubu di kawasan tanah pamah rendah dan kawasan sawah tidak dapat digunakan dengan efektif.
“Akhirnya, pertempuran ini berkesudahan dengan kekalahan teruk tentera British yang membolehkan mereka mara melalui Semenanjung Tanah Melayu tanpa diberikan tentangan berkesan sehinggalah membawa kepada kejatuhan Singapura pada 15 Februari 1842,” katanya.
Katanya, pihak PSMCK melihat sejarah Pertempuran Jitra ini sebagai satu babak serangan yang diketahui dunia, khususnya mereka yang mengkaji dari sudut keselamatan dan pertahanan.
Malah katanya, persatuan kini sedang menggerakkan biro kaji selidik untuk membuat proses pemetaan dan mengkaji struktur serta kedudukan kubu tersebut supaya ia dapat didokumentasikan sebagai aset negeri.
“Saya berpendapat kubu ini akan jadi satu tarikan kepada pelancong luar sekiranya sejarah peperangan khususnya Pertempuran Jitra ini dikomersialkan.
“Komitmen menjaga tinggalan sejarah tanggungjawab semua masyarakat, kerana aset ini adalah milik bersama dan asli,” katanya.
Sumber: Sinar Harian