Peluang BN Rampas Semula DUN Bukit Selambau, Lunas Cerah Pada PRU14


TANPA kerjasama PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bergabung dalam Pakatan Harapan bersama DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mungkin mampu mempertahankan Dewan Undangan (DUN) Bukit Selambau dan DUN) Lunas, di Kedah.

PAS dijangka meletakkan calonnya di dua DUN berkenaan pada  pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) kerana kawasan itu juga adalah DUN tradisi yang ditandingi parti berkenaan.

PAN dan PPBM, dua parti baharu pun mungkin berminat, namun perlu mendapat 'perkenan' terlebih dahulu daripada Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pertembungan tiga penjuru atau lebih dijangka berlaku pada PRU14 di kedua DUN itu, mengulangi PRU13 di mana Lunas ditandingi empat calon menakala Bukit Selambau lima calon bersaing hebat.

Bukit Selambau berada dalam Parlimen Merbok (BN) sementara Lunas dalam Parlimen Padang Serai (PKR).

BN dikatakan mempunyai harapan untuk merampas semula kerusi Bukit Selambau yang diwakili calon MIC jika tiada 'sabotaj' daripada dalam. Pada PRU lepas BN kalah tipis kepada PKR dengan  majoriti 530 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Sementara kerusi Lunas agak 'berat' bagi BN kerana calon PKR memenangi kerusi itu dengan lebihan 9,084 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Undi masyarakat India dikatakan berpecah kerana beberapa calon India juga bertanding atas tiket parti Bebas,  antara sebab kekalahan DUN  itu.

Atas alasan itu, Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad  Bashah Md Hanipah berkata kemenangan di dua kawasan itu bergantung kepada kerjasama semua pihak dalam UMNO, MIC, MCA serta parti komponen lain dalam BN.

Masyarakat India perlu memberikan sokongan padu pada calon MIC yang dijangka diletakkan semula di dua DUN berkenaan.

Jika mereka memerlukan wakil India utuk dilantik sebagai Exco yang 'kosong' dalam pentadbiran  kerajaan negeri, pengundi  India perlu memberikan sokongan padu pada calon BN.  
Bagaimanapun, Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar optimis dan positif dua kerusi DUN yang diperuntukkan untuk calon  masyarakat India, iaitu Bukit Selambau dan Lunas mampu dirampas pada pilihan raya umum ke-14. 

Beliau berkata, semua perlu turun padang bekerjasama bagi memastikan kemenangan calon MIC yang akan diketengahkan oleh parti di dua kerusi DUN berkenaan.

Ahmad Bashah berkata kemenangan itu bukan sahaja penting untuk memudahkan parti membantu rakyat di kedua-dua kawasan, malah lebih utama turut membuka ruang kepada wakil kaum India mengisi kuota dalam barisan EXCO kerajaan negeri.

"Wakil kaum India akan tetap diberi peluang bertanding pada PRU-14. Kita amat berharap calon MIC menang selepas dua penggal gagal mendapat tempat di dua kerusi itu yang ada ramai pengundi masyarakat India.

"Bagi BN, kita akan senaraikan beberapa calon daripada masyarakat India untuk bertanding di DUN Bukit Selambau dan Lunas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kuih raya dan wang tunai kepada kira-kira 1,000 penduduk India dari 36 kawasan DUN di Kedah sempena Deepavali di Dewan Mentaloon, di Alor Setar semalam.

BN kali terakhir menguasai DUN Bukit Selambau dan Lunas melalui PRU-11 pada 2004, sebelum hilang kedua-dua kerusi kepada pembangkang bermula PRU-12.

Sebelum itu, Bukit Selambau diwakili oleh calon daripada UMNO dan tidak pernah kalah pada pembangkang.

"Kaum India sendiri perlu memberi kepercayaan kepada calon BN untuk menjadi wakil mereka bersuara dalam kerajaan," katanya.- Kedahnews.com