LANGKAWI – Penyertaan dibuka sekarang kepada sesiapa yang berminat merasai pengalaman berlari dalam ‘dua tahun’ berbeza melalui acara “Fun Nite Run” yang akan diadakan di sini, pada 31 Disember ini.
Acara berkenaan akan diadakan di Dataran Lang dan dianjurkan bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA).
Ketua Pegawai Eksekutif LTA, Zainudin Kadir berkata 5,000 peserta disasarkan untuk mengambil bahagian dalam acara yang pertama kali diadakan itu, sebagai antara acara bagi menyambut 2018.
“Acara ini dijangka bermula 9.45 malam pada 31 Disember 2017 dan penamatnya dijangka pada awal pagi 1 Januari 2018,” katanya selepas majlis perasmian promosi acara itu dan “Eco-Relay Fun Run” oleh Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Azizan Noordin di sini, semalam.
Sementara itu, Azizan berkata acara Eco-Relay Fun Run yang akan diadakan 14 Oktober ini, bakal menampilkan kelainan dengan menyaksikan pelari mengambil bahagian secara berpasukan dan berganti-ganti sejauh 10km, bermula dan berakhir di medan parkir Kompleks LADA.
Beliau berkata acara yang julung kali diadakan itu adalah salah satu aktiviti sempena sambutan 10 tahun Langkawi dinobatkan sebagai sebuah geopark global Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Kita menjangkakan sekurang-kurangnya 200 peserta akan mengambil bahagian dan kategori antarabangsa turut dibuka untuk pelancong yang berminat menyertainya.” kata beliau.
Maklumat lanjut mengenai acara Fun Nite Run boleh didapati dengan menghantar e-mel ke ltalangkawi@gmail.com, manakala Eco-Relay Fun Run di www.lada.gov.my.
Sementara itu, Azizan menyatakan kesediaan LADA untuk menambahkan kemudahan bagi mempromosi acara-acara sukan larian di pulau peranginan itu.
“Kalau ramai yang berminat menggunakan tempat rekreasi (untuk sukan larian), saya rasa pada tahun-tahun akan datang, kita dapat buka lagi (kemudahan-kemudahan baharu) untuk acara ini,” katanya.
Beliau berkata LADA juga bersedia bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang berkaitan untuk mengadakan satu hari bebas kenderaan di sini, dengan pengisiannya melibatkan aktiviti sukan dan ekopelancongan. – BERNAMA