Pelumba Tempatan Ungguli Podium Di Hari Terakhir Di Alor Setar


ALOR SETAR - Setelah tenggelam dan gagal menyinar pada beberapa hari selepas mulanya perlumbaan berbasikal Jelajah Malaysia 2017 (JM2017), kini pada hari terakhir, pelumba tempatan berjaya mengungguli kesemua podium yang ditawarkan.

Perlumbaan sejauh 132.8 kilometer (km) menyaksikan jaguh pecut daripada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Hariff Saleh kembali menunjukkan belang apabila berjaya meraih gelaran juara.

Hariff berjaya menamatkan saingan pada kedudukan pertama dengan catatan masa 3 jam 8 minit 7 saat (s).


Perlumbaan yang  berakhir di Menara Alor Setar, Kedah semalam itu turut menyaksikan kejayaan pelumba Sitra Kelantan, Mohammad Saufi Mat Senan yang memecah dominasi pelumba handalan kejohanan de­ngan me­raih podium kedua.

Sementara tempat ketiga pula dirangkul oleh Nur Amirul Fakhruddin Mazuki dari TSG.

Bagi Hariff, laluan terakhir yang bersifat landai telah memberi kelebihan kepadanya untuk kembali menyengat selepas gagal mempamerkan kehebatannya.

“Daripada peringkat kedua hingga keempat memang banyak pecahan dalam kelompok perlumbaan dan saya tidak dapat menggunakan kepakaran untuk menamatkan saingan di kedudukan podium.

“Perlumbaan yang melibatkan kelompok besar di garisan penamat memang ditunggu-tunggu dan hari ini (semalam), saya dapat meraih kejuaraan peringkat.

“Terima kasih kepada rakan sepasukan kerana mereka banyak membantu saya untuk meraih kemenangan ini,” katanya. - Kedahnews.com