Pemain Badminton Negara Dihantui Budaya ‘Penakut’


KUALA LUMPUR - Pemain badminton negara sama ada remaja atau senior, masih dihantui budaya ‘penakut' yang menyebabkan prestasi mereka tidak konsisten dan gagal mengawal permainan ketika waktu kritikal.

Perkara itu disuarakan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang sedikit kecewa dengan prestasi pemain negara pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Jakarta dan Terbuka Denmark baru-baru ini.

Pemain perseorangan lelaki remaja negara, Leong Jun Hao, gagal menamatkan penantian enam tahun negara apabila tewas kepada Kunvalut Vitidsarn dari Thailand 21-17, 15-21, 9-21 dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia.

Sementara pasangan beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie pula tersingkir pada aksi separuh akhir Terbuka Denmark selepas tewas kepada pasangan China Zheng Siwei-Chen Qingchen 16-21, 16-21.

“Inilah kita punya kelemahan iaitu semangat juang dan kekuatan mental yang tidak kuat. Saya sudah maklumkan kepada Michelle Chai (pengurus besar BAM)  mengenai perkara ini dan juga telah berbincang dengan pihak jurulatih supaya semua ini harus dipertingkatkan.

“Kita selalu bercakap mengenai jenama semangat juang pemain negara lain seperti Thailand, Indonesia dan China tetapi kita Malaysia tidak punyai jenama semangat juang tersendiri… kita tidak kekurangan bakat tapi kita masih punya budaya penakut,” katanya selepas majlis penyerahan surat pelantikan anggota gabungan BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini.

Dalam pada itu, Mohamad Norza tetap memuji pencapaian pemain remaja negara secara keseluruhan yang disifatkan prestasi mereka tidak jauh beza berbanding kuasa besar badminton yang lain.

Katanya, dalam acara individu, Jun Hao, 18, dilihat sebagai permata yang perlu diberikan bimbingan dan pendedahan awal agar bakatnya tidak terhad di peringkat remaja, tetapi terus menyinar apabila beliau bergelar pemain senior.

“Saya telah menghantar pesanan kepada Datuk Misbun (Sidek) mengatakan bahawa Jun Hao perlu diberikan bimbingan dan lebih banyak pendedahan. Dan saya telah katakan, saya mahu lihat Jun Hao berada dalam kelompok 10 teratas dalam masa dua tahun.

“Kita tidak mahu pemain walaupun bertaraf dunia di peringkat junior, tapi akhirnya di peringkat senior mereka terumbang ambing. Kini masanya untuk jurulatih memberi perhatian dan menangani perkara ini untuk jangka panjang dan pendek,” katanya.

Skuad badminton remaja negara muncul naib juara acara berpasukan campuran selepas tewas kepada China, 1-3 dalam perlawanan akhir, manakala pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei pula terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada Han Yue dari China 9-21, 10-21. - BERNAMA