Pemain Bola Jaring Negara, Izyan Syazana Terima Anugerah Wanita Cemerlang Kedah


ALOR SETAR - Anggota skuad emas bola jaring negara, Izyan Syazana Mohd Wazir, 24, menempa sejarah apabila terpilih menerima Anugerah Wanita Cemerlang 2017 peringkat negeri Kedah atas sumbangannya mengharumkan nama negara merangkul emas dalam temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur pada Ogos lalu.

Izyan yang baru mendirikan rumah tangga empat hari lalu menganggap anugerah tersebut sebagai rezeki dan hadiah perkahwinannya selain rasa dirinya dihargai atas pengiktirafan dari Kerajaan Negeri Kedah.

Menurutnya, penganugerahan ini menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain bola jaring biarpun usianya makin meningkat.

"Jika saya terpilih untuk bermain dengan skuad kebangsaan lagi, saya tidak akan bersara selagi mampu kerana bola jaring sudah sebati dengan diri saya sejak berusia 11 tahun.

"Saya dipilih mewakili negara pada usia 15 tahun. Selagi khidmat diperlukan, saya akan terus menabur bakti untuk negara," kata pemain yang memiliki ketinggian 175 sentimeter itu ketika ditemui Kedahnews.com, semalam.

Pemain tinggi lampai itu menjelaskan bahawa Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) menghubunginya sendiri serta menjemput untuk menerima pengiktirafan dari Kerajaan Negeri, baru-baru ini.

"Saya tak sangka.. saya gembira dan hargai pengiktirafan ini," ujarnya.

Beliau yang berasal dari Kulim berkata, dia akan meneruskan pengajian dalam bidang Pendidikan Jasmani di Universiti Putra Malaysia (UPM) selepas menangguh latihan praktikal pada semester akhir lalu demi memberi tumpuan menghadapi sukan Asia Tenggara itu.

"Selepas saya bergelar guru sekalipun, saya tetap akan aktif dalam sukan ini. Segala pengalaman yang ada akan dicurahkan untuk pelajar saya kelak," ujar pemain yang beraksi di posisi serangan gol (GA) ini.

Izyan yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik ini termasuk di antara 30 wanita cemerlang Kedah yang menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Majlis anugerah yang penuh gemilang itu dianjurkan Kerajaan Negeri bersama Jabatan Pembangunan Wanita Negeri dan Puspanita Negeri Kedah, bertempat di Dewan Sri Negeri semalam, bersempena Hari Wanita pada Mac lalu.
Pada Ogos lalu, skuad bola jaring kebangsaan berjaya menamatkan kemarau 16 tahun untuk meraih pingat emas buat kali kedua kejohanan berprestij Asia Tenggara itu apabila menewaskan musuh tradisi, Singapura 65-41 pada perlawanan akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Pingat emas itu merupakan kejayaan kedua diraih skuad kebangsaan di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Kebangsaan, Tracey Robinson selepas Kejohanan Bola Jaring Asia di Bangkok, Thailand tahun lalu.


Selain Izyan, turut menerima Anugerah Wanita Cemerlang Kedah bagi kategori sukan juga adalah pelayar wanita pertama negara untuk sukan Olimpik, Nur Shazrin Mohd Latif.  - Kedahnews.com