KEM skuad Harimau Kumbang seperti dilanda tsunami sebaik Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari, meletak jawatan pada 9 Oktober lalu.
Keputusan itu dilihat menjadikan situasi bola sepak Pulau Pinang berada dalam keadaan tenat setelah sah bakal turun ke saingan Liga Perdana musim depan.
Tanpa hala tuju yang jelas dan sehingga kini masih belum calon pengganti Zairil, majoriti pemain Pulau Pinang mula resah memikirkan masa depan mereka.
Berikutan itu, ramai pemain utama skuad berkenaan didakwa sedia mengangkat kaki demi kerjaya musim depan.
Salah seorang pemain yang enggan dedahkan identiti mendakwa, rakan sepasukannya sudah mula mencari pasukan baru musim depan selepas berasakan Pulau Pinang seperti sudah hilang arah.
"Saya dan rakan-rakan mahu terus kekal dengan Pulau Pinang selepas kecewa dengan apa yang berlaku musim ini serta mahu bawa balik pasukan kembali ke Liga Super.
"Tapi, melihat kepada pergolakan yang sedang melanda pengurusan terutama peletakan jawatan Zairil secara mengejut, saya nampak masa depan pasukan ini semakin sukar.
"Kami belum dengar apa-apa mengenai masa depan malah FAP lebih banyak mendiamkan diri sejak kami tersingkir ke Liga Perdana.
"Jika sehingga penghujung bulan ini (Oktober) belum ada sebarang pergerakan, kami sedia cari pasukan lain untuk 2018," katanya.
Beberapa pemain muda Pulau Pinang seperti Syamer Kutty Abba, Jafri Firdaus Chew, S. Kumaahran dan Redzuan Suhaidi difahamkan sedang dipancing kebanyakan pasukan Liga Super.
Pemain-pemain lain, Sani Anuar Kamsani, Mafry Balang, Rafiuddin Roddin dan K. Reuben turut menarik perhatian beberapa pasukan di Liga Super serta Perdana.
Kekhuatiran pemain Pulau Pinang ini didakwa turut berkait dengan jangkaan segelintir pihak bahawa tiada lagi dana daripada kerajaan negeri ekoran peletakan Zairil yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Bendera.
Sumber: Mstar Online