KOTA BHARU - Seorang pemandu kenderaan Grab cedera ditumbuk sekumpulan pemandu teksi di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, kelmarin, dipercayai akibat salah faham.
Kejadian yang menimpa mangsa berusia 20-an, jam 4.15 petang berlaku berikutan rasa tidak puas hati sebahagian pemandu teksi Malaysia Airlines Bhd (MAB), terhadap pemandu kereta Grab yang mengambil penumpang di kawasan berkenaan.
Justeru, lebih 40 pengusaha perkhidmatan Grab Car hari ini membuat bantahan terhadap sikap pemandu teksi yang dianggap biadap seterusnya menyerahkan memorandum kepada wakil MAB.
Wakil pemandu Grab, Azizi Ismail, berkata sebelum ini pihaknya sudah menerima beberapa aduan mengenai sikap pemandu teksi MAB yang kerap mengganggu.
"Sebelum ini ada dalam kalangan kami diugut akan dibakar kereta, merampas kunci kereta dan macam-macam lagi.
"Kami dibenarkan untuk mengambil penumpang di pintu C sahaja, namun dalam kejadian semalam, mungkin penumpang yang menghubungi mangsa meminta dijemput di pintu D menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan pemandu teksi," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Yang turut hadir, Pengerusi Teksi LTSIP, Abdul Rashid Mamat.
Azizi berkata, sehingga kini mereka tidak mendapat arahan rasmi dari pihak MAB mengenai mana-mana kawasan yang diperuntukkan dan hanya dimaklumkan oleh persatuan pemandu teksi sahaja.
Sementara itu, Abdul Rashid mendakwa, kejadian itu hanya salah faham selain mangsa tidak memberi kerjasama.
"Ketika mangsa berada di pintu D LTSIP, saya ada menahan kenderaannya memaklumkan tidak dibenarkan mengambil penumpang di pintu terbabit, namun mangsa terus memecut laju menyebabkan pemandu teksi lain terkejut.
"Disebabkan itu beberapa pemandu teksi yang lain datang dan memukulnya. Kami ingin memohon maaf terhadap insiden itu," katanya.
Sumber: BH Online