KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mempertingkatkan pemantauan di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam melalui kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengekang penyeludupan keluar barangan kawalan susulan pembukaan pintu sempadan selama 20 jam sehari bermula 1 November ini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, pihaknya mengakui pembukaan pintu sempadan selama 20 jam sehari bagus daripada segi perdagangan kedua-dua negara namun KPDNKK akan bersiap sedia dan lebih berhati-hati bagi memastikan barangan kawalan tidak terlepas ke negara jiran.
Menurutnya, pihaknya akan memastikan barangan yang diberi subsidi itu tidak diseludup keluar dari negara ini supaya ia dapat dinikmati rakyat tanpa merugikan kerajaan.
"Barangan kawalan kita seperti minyak masak, diesel, gas dan sebagainya diseludup keluar kerana barangan kita murah sebaliknya di negara jiran ia mahal menyebabkan ada pihak melakukan kegiatan itu untuk mendapatkan keuntungan diri sendiri sehingga merugikan kerajaan jika tidak ditangani.
"Sebab itu kita akan menjalinkan kerjasama dengan agensi tempatan malah bukan sahaja ATM tetapi juga dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, polis marin dan sebagainya untuk memantau pintu sempadan negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat Perundangan Dan Akta-Akta Yang Dikuatkuasakan Oleh KPDNKK kepada pegawai dan anggota ATM di Markas Batalion ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Jitra, di sini, hari ini.
Mohd Roslan berkata, sebanyak 48 kes penyeludupan keluar barangan kawalan dengan nilai barangan RM156,491 sejak 2013 hingga tahun ini berjaya dirampas di pintu sempadan negara hasil kerjasama dengan ATM.
"Barangan yang ditahan ATM ini akan diserahkan kepada kita untuk disiasat mengikut Akta Bekalan Kawalan 1961.
"Kami tidak boleh menempatkan pegawai KPDNKK sepanjang masa di pintu sempadan negara dan sebab itu kita mendapatkan bantuan dari ATM di mana mereka boleh menahan barangan yang ingin diseludup keluar sebelum diserahkan kepada kami," katanya.
Mengulas mengenai taklimat itu, beliau berkata, satu persetujuan sudah dicapai antara KPDNKK dengan ATM untuk mewujudkan kerjasama menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam tugas penguatkuasaan.
"Sebelum ini kita sudah mengadakan taklimat sama di Kelantan berhubung bagaimana bentuk kerjasama itu dan mendapat maklum balas baik di sana malah saya berharap di sini juga akan dilaksanakan dengan baik dalam mengekang penyeludupan keluar barangan kawalan," katanya.
Sumber: MyMetro